Melaka United yakin penyerang Johor Darul Takzim (JDT),  Mohamed Ghaddar akan memberi jawapan positif terhadap tawaran menyertai pasukan itu musim depan.

Pemain dari Lubnan itu yang muncul penjaring terbanyak Liga Malaysia musim ini sudahpun mengadakan perbincangan bersama pengurusan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) dan sepatutnya menyatakan keputusannya Khamis lalu namun masih berteka-teki.

Begitupun, dengan JDT sudah memberi lampu hijau kepada pemain itu untuk berpindah, Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Yusof Mahadi percaya pemain itu yang mencetak 29 gol sepanjang musim 2078 akan memperkuatkan jentera serangan Melaka United musim depan.    

Ghaddar mengharungi musim terbaik dalam kariernya di Liga Malaysia tahun ini apabila menjaringkan 18 gol bersama Kelantan dalam hanya 11 perlawanan lantas menyaksikannya dipancing dengan tawaran ‘rambang mata’ oleh harimau selatan sekaligus menjadi pemain termahal dalam sejarah Liga-M.

Dia kemudian menjaringkan 11 gol dalam saingan liga dan Piala Malaysia bersama JDT – membantu JDT menjuarai kedua-dua pertandingan itu namun dengan JDT bercadang merombak dan memperkasakan pasukan dengan tenaga pemain baru, Ghaddar dilihat tiada dalam perancangan Ulises Morais musim depan.

Malah JDT juga sudahpun memulakan usaha ‘pembersihan’ pasukan dengan menggugurkan beberapa pemain antaranya Azamuddin Akil, R.Gopinathan dan S.Chanturu dan ketika ini sedang berusaha membawa masuk beberapa pemain muda.

Sementara itu, Melaka United membawa masuk bekas pemain kebangsaan, Azmi Muslim untuk memperkasa pertahanan pasukan itu.  Pemain yang dicungkil bakat menerusi program realiti MyTeam pada 2006 itu adalah yang ketiga direkrut Melaka United setelah turut menandatangani khidmat dua penjaga gol, Zamir Selamat dan Faridzuen Kamaruddin.

Azmi bukanlah nama asing dalam arena bolasepak tanah air – dia menjulang Piala Malaysia bersama Selangor pada 2015 sebelum beraksi dengan PKNS pada tahun ini. Karier dibelenggu kecederaan menyaksikan pemain yang turut pernah mewakili Kedah, JDT, Felda dan ATM itu bergelut mempamer prestasi terbaik dan kini dalam laluan membuka buku baru di Melaka.OLEH MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -