Melaka Titans mengetepikan tentangan sengit dari PDRM Defenders dan Putrajaya Cyborg untuk menjuarai saingan Divisyen Satu Sepaktakraw League (STL).

Ketiga-tiga pasukan berkenaan terikat dengan 18 mata setelah memenangi perlawanan terakhir masing-masing namun kemenangan 2-0 (21-17, 21-15) dilakar Melaka Titans ke atas Perlis Vipers membolehkan mereka bergelar juara menerusi menerusi beza hanya satu set.

Kejayaan itu bukan sahaja menyaksikan Melaka Titans kembali ke kancah STL Premier pada musim hadapan, tetapi turut layak beraksi di STL Champions Cup bersama-sama tiga pasukan terbaik dari STL Premier serta empat pasukan antarabangsa iaitu Thailand, Indonesia, India dan Korea Selatan.

Selaku juara, Melaka Titans membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dan lebih manis buat pasukan itu, jurulatih mereka Khairul Anuar Ibrahim dinobatkan sebagai jurulatih terbaik manakala tekong tinggi lampai Shahidan Md Ali dinobatkan sebagai tekong terbaik bagi saingan Divisyen Satu.

“Memang ianya KPI (petunjuk prestasi) yang saya tetapkan kepada diri sendiri, mahu bawa Melaka Titans kembali ke STL Premier. Saya diberi amanah buat pertama kali membimbing pasukan ini, syukur kita berjaya bangkit selepas jatuh pada musim lalu, ini adalah kejayaan milik semua.

“Saya bertuah kerana pasukan ini mempunyai pemain-pemain muda rata-rata dari usia 18-25 yang bersemangat tinggi dan begitu dahagakan kejuaraan. Saya berharap mereka dapat dapat memberi cabaran sengit apabila beraksi pula dalam STL Champions Cup nanti, kita tidak mahu sekadar jadi pelengkap,” kata Khairul Anuar.

Mengiringi Melaka Titans ke STL Premier musim depan adalah PDRM Defenders yang menamatkan saingan di tempat kedua susulan kemenangan 2-0 (21-8, 21-7) ke atas Kedah.  

Putrajaya Cyborg yang tampil cemerlang melakar kemenangan kelima berturut-turut dengan menewaskan Negeri Sembilan Antlers pada Ahad menamatkan saingan di tempat ketiga namun masih berpeluang merebut tempat beraksi di STL Premier.

Putrajaya Cyborg dan Pahang Mammoth akan beraksi di perlawanan play-off menentang dua pasukan tercorot STL Premier yang dijadual berlangsung minggu depan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -