Mengambil pemain naturalisasi tidak akan sekali-kali dipertimbangkan sebagai solusi untuk meningkatkan kualiti bolasepak negara yang semakin merudum.

Demikian tegas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang berpendapat bolasepak tanah air seharusnya diangkat semula ke tahap tinggi dengan menggunakan ‘baka tulen’ dan bukannya yang diimport dari luar.

“Pendekatan itu (mengambil pemain naturalisasi) bukan cara kita, kita hanya bagi kewarganegaraan atau kelayakan untuk mewakili pasukan negara sekiranya mereka ada kaitan keluarga dengan Malaysia, tapi pendekatan seperti negara lainyang memberikan kelayakan kepada sesiapa sahaja untuk mewakili negara tersebut, Malaysia tidak akan amalkan,” katanya.

Beliau turut berharap agar peminat bolasepak tempatan tidak cepat melatah dengan prestasi buruk sedang dilalui skuad negara ketika ini iaitu tujuh perlawanan tanpa kemenangan di bawah kendalian Nelo Vingada dan lebih teruk, tanpa sebarang kemenangan bagi tahun 2017.

Terbaru, dua kekalahan masing-masing dengan jaringan 1-4 kepada Korea Utara dalam aksi kelayakan Piala Asia bukan sahaja menyaksikan peluang Malaysia ke pusingan akhir tertutup, tetapi turut mengundang kritikan pedas yang mahu pasukan ini dirombak manakala Vingada disingkirkan.

“Jangan cepat buat kesimpulan dan menghukum mereka. Semua tahu sistem sedia ada perlu diperbaiki, sistem ini dah lama. Sebab itu kita ada NFDP, serta beberapa program pembangunan bawah FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) seperti skuad Ong Kim Swee, Bojan Hodak.

“Benda ini akan ambil masa, kita ambil siapapun jurulatih, dia tidak akan dapat membawa peningkatan mendadak dalam satu jangka masa pendek. Mereka akan berdepan masalah sama. Bagi saya, kita perlu tunggu sistem ini dirawat dan dibaikpulih baru kita akan dapat lahirkan pemain yang dibesarkan, dibangunkan melalui sistem yang betul,” ujar Khairy lagi.    

Khairy bercakap kepada pemberita selepas hadir pada sidang Dialog TN50x : Aspirasi Belia CIMB bertemakan ‘Meneraju Perbankan dan Memacu Sukan di Malaysia’ seterusnya menyaksikan Majlis Pelancaran Program Pembangunan Sukan Berbasikal Remaja  Yayasan CIMB bersama Junior Cycling Malaysia (JCM).

Kerjasama yang terjalin antara Yayasan CIMB dan JCM akan menyaksikan yayasan itu akan menaja RM9 juta bagi tempoh tiga tahun bermula 2018 sebagai usaha untuk mengetengahkan bakat-bakat muda dalam sukan berbasikal menjadi jagoan dunia, menerusi program Program Pembangunan Remaja CIMB-JCM.

Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Dato’ Sri Zafrul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Dato’ Hamidah Naziadin. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -