Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia, Peter De Roo menempelak keputusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menolak tawaran untuk beraksi dalam saiingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan. 
De Roo dalam satu kenyataan berkata, “Kami mahu bola sepak lebih berkembang di pentas antarabangsa untuk mendapatkan pendedahan lebih banyak lagi pada peringkat tertinggi. Bagaimanapun adalah sukar untuk kami melangkah jauh jika ada pasukan yang tidak mengambil berat pertandingan antarabangsa.
“Mereka hanya mahu bermain dalam pertandingan domestik seperti dilakukan pasukan Pahang. Inilah realiti bola sepak tanah air. Tidak pernah dalam hidup saya melihat mana-mana pasukan dalam dunia menolak peluang bermain di peringkat antarabangsa. Tindakan menarik diri dari pertandingan AFC menunjukkan pasukan Pahang tidak menghormati AFC selain boleh menjejaskan ranking negara dan hubungan baik yang terjalin antara FAM dan AFC.”
Untuk rekod, Pahang dihadiahkan tiket beraksi di Piala AFC 2018 setelah Kedah yang pada asalnya mendapat slot berkenaan selaku juara Piala FA dinafikan hak mereka kerana tidak mempunyai Lesen AFC, justeru Pahang sebagai naib juara Liga Super dilihat pasukan paling layak menggantikan Kedah tambahan pula mereka mempunyai Lesen AFC. 
Begitupun, PBNP dalam satu kenyataan oleh Setiausaha Agungnya, Norlia Abdul Manaf pada Selasa memaklumkan bahawa mereka menolak tawaran tersebut bagi membolehkan pasukan Tok Gajah memberi sepenuh perhatian kepada saingan Liga Malaysia 2018.
Keputusan sama ada tempat Pahang itu akan diambil alih pula oleh pasukan lain dari Liga Malaysia atau Johor Darul Takzim akan kekal sebagai satu-satunya wakil negara di pertandingan itu hanya dapat diputuskan oleh FAM memandangkan buku peraturan AFC menyatakan tiada pasukan lain boleh ditawarkan slot berkenaan andai pasukan yang layak menolak untuk bermain. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
- Advertisement -