Ketika Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengumumkan barisan pemain bagi musim depan dengan menggugurkan ramai pemain senior dan membuat keputusan meneruskan perjuangan dengan kudrat pemain muda tempatan, tindakan itu dilihat sebagai satu pertaruhan berani dan mendapat pujian rata-rata penyokong.

Antara nama-nama yang tidak disambung kontrak termasuklah Shahrizan Ismail, Daudsu Jamaludin, S.Subramaniam, Norhafiz Zamani Misbah, Indra Putra Mahyudin dan Zairul Fitri Ishak yang mana kesemuanya telah berusia 30 tahun ke atas manakala pemain seperti Khairul Izuan Rosli dan Qayyum Marjoni Sabil dipancing pasukan lain.

KAFA berpendapat inilah masa sesuai untuk membina semula sebuah legasi baru dengan menyerap lima pemain berkualiti dari Piala Presiden – Nik Azli Nik Alias, Imran Samso, Nik Akif Syakiran Nik Mat, Danial Ashraff Abdullah dan Syaiful Alias untuk memperkuatkan skuad.

Mereka juga memanggil semula Fakhrul Zaman Zawawi, Shahrul Hakim Rahim, Nik Shahrul Azim Abdul Halim serta Faizol Nazlin yang beraksi secara pinjaman dengan pasukan lain bagi bersama-sama pemain muda sedia ada dalam pasukan seperti Rozaimi Azwar, Nasharizam Abdul Rashid, Syafiq Abdul Rahman dan Amir Zikri.

Hanya Badhri Radzi, Khairul Fahmi Che Mat, Norfarhan Mohd, Farisham Ismail pemain senior yang dikekalkan bagi membimbing pemain muda ini dan mereka juga belum memuktamadkan sama ada mahu menggunakan empat atau lima pemain import musim depan.

Setakat ini tiga slot sudah diisi oleh Morgaro Gomis, Seydi L’Imam (hampir pasti) dan terbaru pemain import dari Korea Selatan, Do Dong Hyun. Mereka masih meneruskan pemburuan untuk mengisi baki satu kuota dengan menguji beberapa pemain dari Brazil dan jika ada bajet, mungkin juga akan menyambar dua pemain.

Melihat kepada senarai nama ini, secara kasarnya boleh dikatakan Kelantan sudah mempunyai teras yang baik untuk membentuk satu skuad yang mantap yang dipacu oleh ‘ubi’ mereka sendiri dengan bantuan pemain import dan senior yang dikekalkan. 

Selepas sekian lama berada di bawah satu struktur yang tidak berkembang, peremajaan pasukan yang tidak pernah sekalipun menjadi kenyataan walaupun berulang kali dilaungkan oleh presiden terdahulu, kini mereka mempunyai barisan pemain berjiwa muda, semangat juang dan keinginan tinggi mahu mengorak langkah ke depan.

Ketika era pimpinan Tan Sri Annuar Musa, peremajaan pasukan hanyalah satu omong kosong, kerana pada akhirnya walaupun tidak berduit, pasukan itu akan membawa masuk nama-nama besar untuk memperkuatkan skuad justeru pemain muda yang diserap dari Piala Presiden tidak mendapat peluang dan akhirnya menjadi ‘sparring partner’ semata-mata, ataupun dipinjamkan kepada pasukan lain.

Apa yang dibimbangkan kini, situasi sama itu akan terus menjadi ‘tradisi’ di bawah pimpinan Bibi Ramjani Ilias Khan. Selepas merekrut dan menjanjikan sebuah skuad remaja, nampak gayanya panel kejurulatihan dan pemantau bakat Kelantan kini dalam diam bekerja di belakang tabir untuk membawa masuk pemain yang ada nama dari luar.

Dalam usaha itu, mereka telah berjaya mendapatkan khidmat pemain kental dari Selangor, S.Veenod, dan diyakini jumlah itu akan terus bertambah selepas ini dengan pemain JDT II, Shafiq Shaharudin juga sudah tiba di Kota Bharu untuk menjalani pemilihan.

Jika ia berterusan, tidak mustahil pemain-pemain yang diserap, yang menampakkan potensi besar akan kekal sebagai ‘sparring partner’ sahaja dan bakat mereka akhirnya berkubur sepertimana terjadi kepada Tuan Mohd Faim Tuan Rosli dan Khairul Izuan Rosli.

Mungkin ada yang berpendapat tidak salah memancing seorang dua pemain berpengalaman kerana jika bersandarkan kepada kudrat pemain muda semata-mata, mungkin sukar untuk pasukan melangkah jauh dan menempa kejayaan kerana bakat-bakat yang ada ini perlukan masa untuk menjadi benar-benar bagus.

Namun, persoalan yang utama, apakah sasaran sebenar diletakkan oleh KAFA. Membina semula sebuah legasi yang runtuh atau mencari kejayaan segera?

Jika kejayaan segera yang dicari, nasib yang menimpa Tan Sri Annuar mungkin berulang, beliau memacu pasukan ini dari sebuah pasukan kosong tanpa pencapaian, sehingga bergelar juara treble pada 2012 dan menjadi kuasa besar bolasepak tanah air.

Demi mengekalkan sebuah pasukan juara dan tidak mahu dominasi dalam liga tempatan terjejas, pasukan terus disuntik dengan kemasukan pemain berprofil tinggi yang dibayar gaji berpuluh ribu – tindakan yang dibuat kerana mahu meniru pasukan lain dan tidak mengikut kemampuan sendiri.

Ia akhirnya membawa kepada kemelut tunggakan gaji dan kemerosotan prestasi, dari sebuah pasukan juara, menjadi pasukan sederhana, pemain tidak mempunyai motivasi dan keyakinan malah hampir sahaja menarik diri dari Liga Malaysia pada awal 2017.  

Jika pada ketika itu (pasca juara treble 2012), kekuatan dan kedudukan kewangan pasukan diimbangi dengan memberi ruang kepada pemain-pemain Piala Presiden yang berpotensi besar seperti Asif Azman, Azyu Ikmal, Akid Ramli, Faiz Nasir dan Faiz Suhaimi, mungkin Kelantan tidak melalui igauan buruk dan berterusan menerima publisiti negatif sepanjang dua musim yang terakhir ini.

Berilah peluang yang wajar kepada pemain-pemain muda yang ada pada hari ini kerana mereka adalah bintang masa depan, usah harapkan keajaiban dari mereka, sebaliknya lentur mereka menjadi pemain yang lebih bagus. Setiap kegagalan, kekalahan pastinya akan menjadikan mereka lebih matang dalam permainan.OLEH MUHD AIMAN

- Advertisement -