Perak Bison memanfaatkan sebaiknya kekalahan dialami dua pasukan pantai timur, Kelantan Warriors dan Terengganu Turtles apabila menewaskan Johor Tigris 2-1 pada Sabtu seterusnya mengukuhkan peluang mereka berada di kedudukan tiga teratas Sepaktakraw League (STL) Premier.

Kemenangan keenam buat pasukan Ismi Hissan Ismail itu menyaksikan mereka terikat dengan 12 mata bersama-sama Kelantan Warriors dan Terengganu Turtles namun berada di kedudukan keempat, dibezakan menerusi beza set menang.

Pasukan juara Divisyen Satu 2016 itu berpeluang menamatkan aksi minggu keenam di tempat kedua seandainya berjaya menewaskan Selangor Pistons dalam aksi ke-12 malam ini.

“Sasaran awal kita sebelum ini adalah berada dalam kelompok enam terbaik seterusnya kekal dalam Divisyen Satu, tetapi dengan peluang terbuka untuk pencapaian yang lebih baik, kita tidak harus sia-siakannya. Begitupun, saya ingatkan kepada pemain supaya tidak hilang tumpuan dan cuba bermain tanpa tekanan dalam baki perlawanan nanti.

“Setiap pasukan yang akan kita tentang selepas ini termasuk Selangor pada Ahad, serta Terengganu dan Kuala Lumpur pada minggu terakhir nanti mempunyai peluang seimbang jadi mereka juga pastinya akan turun bermati-matian untuk mencatat kemenangan,” kata Ismi.   

Dalam aksi menentang Johor, Perak Bison yang menggandingkan trio Meor Zulfikar Mat Amin-Izham Idris-Amirul Ramdhan Suhaimi kecundang set pertama 16-21 namun berjaya bangkit memenangi set kedua 21-16 dan 21-18 pada set penentuan.

Kelantan Warriors tewas kepada Selangor Pistons manakala Terengganu Turtles pula tewas kepada Kuala Lumpur Thunder dalam perlawanan yang berlangsung sebelum itu sekaligus menjadikan pemburuan untuk berada di kedudukan tiga teratas yang menawarkan slot beraksi di STL Champions Cup berlangsung sengit antara enam pasukan.

Kekalahan bagi Johor Tigris pula bermakna pasukan itu mengalami kekalahan kesembilan mereka musim ini dan bakal tersingkir ke Divisyen Satu musim depan seandainya tewas kepada Kuala Lumpur Thunder dalam aksi terakhir minggu keenam malam ini. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -