29th SEA Games KL2017 Olahraga Athletics - Khairul Hafiz Jantan

Khairul Hafiz Jantan mungkin boleh berbangga dengan reputasinya selaku raja pecut Asia Tenggara, namun pencapaian itu tidak cukup untuk membolehkan namanya disenarai dalam Program Podium.

Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Zabidi berkata atlet kelahiran Melaka itu yang mencipta sensasi dengan memenangi pingat emas 100m di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 terlalu jauh ketinggalan di belakang pelari pecut terbaik dari negara-negara Asia dan Komanwel justeru tidak menepati kriteria untuk diserap ke dalam program itu.

“Kebanyakan atlet yang tidak terpilih mungkin masa Sukan SEA prestasi mereka bagus, menang emas, pecah rekod peribadi dan sebagainya. Tetapi kita ada penanda aras dan garis panduan yang ditetapkan. Jadi kalau kita bandingkan, mereka terlalu jauh ketinggalan.

“Dalam kes Khairul Hafiz, kalau ukur catatan masa terbaik dia ikut garis panduan kita tetapkan, bagi 100m dia nombor 9 di Asia, dan nombor 60 di peringkat komanwel. Manakala bagi 200m, dia berkedudukan nombor 18 di Asia dan 36 di Komanwel.

“Jika dia berada dalam kalangan 6 atau 10 terbaik, dengan bantuan sains sukan dan kejurulatihan mungkin kita boleh lonjakkan prestasi dia ke tahap lebih tinggi. Tapi kalau 100m di kalangan atlet komanwel pun dah nombor 60, sukar untuk kita tingkatkan prestasi dia.

“Penilaian kita adalah pada catatan masa di peringkat Sukan Asia, Sukan Komanwel. Kalau beza catatan masa dengan pemenang gangsa Sukan Asia pun sudah terlalu jauh, maka kita kena tegas dalam penyenaraian,” kata Abdul Azim selepas mengumumkan senarai terkini atlet yang akan berlatih di bawah Program Podium 2018 pada Jumaat.   

Khairul Hafiz adalah salah seorang daripada 16 atlet olahraga yang dicadangkan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia untuk diserap ke Podium namun mesyuarat jawatankuasa prestasi tinggi dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Brig Jeneral Khairy Jamaluddin pada Khamis membuat keputusan merekrut hanya dua atlet iaitu Irfan Shamsudin (lempar cakera) dan Hakimi Ismail (lompat kijang).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan atlet olahraga dalam Podium adalah tiga atlet termasuk jaguh lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa yang disenaraikan berlatih di bawah program tersebut sejak Februari tahun ini. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -