Don't Miss

Rejaman Fadzil lonjakkan Perak Bison ke tangga kedua

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2017/11/rejaman-fadzil-lonjakkan-perak-bison-ke-tangga-kedua">
Twitter
Pinterest

Pemain kebangsaan, Ahmad Fadzil Mustafa menampilkan antara aksi terbaiknya dalam saingan Sepaktakraw League (STL) Premier musim ini apabila rejaman-rejaman bertenaganya membantu Perak Bison menundukkan Selangor Pistons 2-1 di Dewan MPSJ pada Ahad.

Kemenangan itu sekaligus membolehkan Perak Bison yang merupakan pendatang baru STL Premier meneruskan langkahan sensasi mereka dan melonjak ke tangga kedua dengan 14 mata hasil tujuh kemenangan seterusnya semakin hampir untuk mengesahkan kedudukan di tiga teratas. 

Jurulatih, Ismi Hissan Ismail berkata, “Biasanya setiap minggu kita catat satu menang, satu kalah, ini kali pertama kita menang dua perlawanan dalam satu minggu. Ini dibantu komitmen tinggi dari pemain, dan mereka juga menterjemahkan arahan dan taktikal yang saya bagi dengan begitu baik.

“Yang terkilan cuma kita sasarkan menang straight set kerana set pertama kita menang dengan mudah, tapi di set kedua momentum kita lari, Selangor juga membawa masuk killer utama dia.

“Jadi saya terpaksa ubah taktikal dengan membawa masuk Fadzil dan Yus (Hanif Rosli) untuk mengacau rentak permainan mereka, dan syukur kita berjaya.”

Perak Bison bermula dengan Meor Zulfikar Mat Amin, Izham Idris serta perejam muda berusia 17 tahun di set pertama dan mereka terlalu unggul untuk disaingi oleh trio Sufi Hashim-Muqlis Borhan-Ali Alhamidi Ayob apabila menang  mudah 21-4.

Selangor Pistons yang turut mengintai peluang beraksi di STL Champions Cup kemudiannya memperkemas permainan dan kemasukan Norshahrudin Ghani menggantikan Ali Alhamidi menyaksikan mereka berjaya memenangi set kedua 21-16.

Begitupun Fadzil, perejam berusia 23 tahun yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan pergelangan tangan dan terlepas beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 beberapa kali memerangkap trio Selangor dengan libasan padu dan mengelirukan sekaligus memacu kemenangan 21-12 buat Perak Bison di set ketiga. 

Tambah Ismi, “Sebenarnya ini adalah rezeki bagi kami apabila Terengganu Turtles dan Kelantan Warriors kedua-duanya tewas (Sabtu), dan mereka akan bertemu sesama sendiri pada perlawanan terakhir nanti.

“Jadi sekarang laluan untuk berada dalam kedudukan tiga terbaik dan terlihat, bergantung kepada kami untuk manfaatkannya pada dua aksi terakhir nanti.”

Aksi minggu terakhir STL Premier minggu depan akan menyaksikan Perak Bison menentang Terengganu Turtles dan Kuala Thunder di mana satu kemenangan akan mengesahkan kedudukan mereka di tiga teratas.

Sementara itu, dalam aksi Divisyen Satu, Melaka Titans mengambil alih kedudukan pendahulu setelah menundukkan Pahang Mammoth 2-1 (15-21, 21-6, 21-16) manakala PSM Knights menewaskan Labuan Drillers 2-1 (14-21, 21-13, 21-18).

PSM Mavericks menewaskan Perlis Vipers 2-0 (21-17, 21-8) dan PDRM Defenders pula menewaskan Negeri Sembilan Antlers 2-1 (22-24, 21-10, 21-11). – OLEH MUHAMMAD AIMAN

Please follow and like us:
0