Tiada keputusan untuk menggugurkan acara trek di Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang akan berlangsung penghujung tahun depan.

Perkara tersebut disahkan Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Sumber Manusia Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Beliau menafikan dakwaan laporan media tempatan bahawa Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengarahkan Velodrom Rakyat di Ipoh dirobohkan kerana pembinaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Sudah tentu, kerana sebenarnya tiada masalah dengan velodrom tersebut. Datuk Amarjit sendiri yang berada di dalam UCI baru baru  ini di China tidak membangkitkan tentang perkara itu .

“Jadi kita pun tidak tahu sumbernya dari mana yang mengatakan UCI mengarahkan supaya velodrom itu dirobohkan, kita tiada isu dan pada Disember ini mereka akan melaksanakan certificatio .

“Kalau pun ada yang perlu ditambah baik bukanlah satu isu yang major sampai perlu merobohkan velodrom itu sendiri,”kata Shahrul.

Velodrom Rakyat dibaik pulih dengan kos RM 11 juta yang diperuntukkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Tambahnya lagi kesemua 27 venue yang akan digunakan di SUKMA 2018 nanti terus dipantau bagi memastikan kerja kerja menaik taraf berjalan dengan lancar.

“Dua hari lepas kita mengadakan lawatan ke venue venue terutama di sekitar Ipoh dan kita lihat bahawa semua kerja kerja sedang berjalan dan mengikaut perancangan.

“Selepas ini kita akan pergi ke daerah daerah untuk melihat persiapan di semua daerah kerana Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mahu SUKMA diadakan di setiap daerah daerah untuk merakyat SUKMA itu sendiri supaya sampai ke akar umbi,”katanya lagi.

SUKMA 2018 dijadual berlangsung selama 11 hari bermula 12 September melibatkan 29 sukan yang dipertandingkan.

Kali pertama Perak menjadi tuan rumah bagi SUKMA adalah pada 1994.

Ketika SUKMA 2016 di Sarawak, Perak menduduki tangga ke 12 dengan 12 pingat emas, 26 perak dan 34 pingat gangsa diraih.OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -