Jaringan pada masa tambahan oleh pemain gantian, Mohd Shahrulnizam Anuar membantu Pulau Pinang mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kelantan dalam aksi final Piala Emas Raja-Raja 2017 seterusnya menamatkan penantian 15 tahun pasukan itu untuk kembali bergelar juara.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Harimau Kumbang tampil lebih bertenaga dan mendominasi permainan dengan mencipta deretan peluang jaringan namun dinafikan ketangkasan penjaga gol Kelantan, Farmie Hussien. 

Malah pasukan bimbingan Abdul Rahim Hassan itu seharusnya mengesahkan kemenangan lebih awal dalam masa sebenar permainan apabila mendahului 1-0 tiga minit sebelum permainan 90 minit berakhir menerusi jaringan Nazrul Najmi Md Noor.

Ketika mereka sudah bersedia meraikan kejayaan, pemain gantian tuan rumah, Asraff Alifudin mengheret perlawanan ke masa tambahan dengan menanduk masuk gol penyamaan menewaskan Amir Omar Khata di gawang Pulau Pinang pada masa kecederaan.   

Shahrulnizam kemudiannya muncul wira pasukan itu apabila memperdaya tiga pemain pertahanan sebelum merembat masuk dari jarak dekat menewaskan Farmie pada minit ke-112 sekaligus menghadiahkan kejuaraan kesembilan secara keseluruhan dan yang pertama sejak 2002 buat Pulau Pinang.

Kemenangan juga menyaksikan pasukan dari utara itu berjaya menebus dua kekalahan di pentas final kepada Kelantan sebelum ini iaitu pada 2001 (0-3) dan 2008 (0-4), yang juga berlangsung di Kota Bharu.

Selaku juara, Pulau Pinang membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM40,000 manakala Kelantan bimbingan Kamarudin Mohamad yang gagal dalam misi mendakap kejuaraan ke-14 berpuas hati dengan RM20,000. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -