Skuad B-23 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee akan melakukan persiapan rapi di Mokpo, Korea Selatan dan Nanjing, China bagi menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Changshu dan Kunshan, China bermula 10 Januari depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Amin memaklumkan program latihan pusat itu diperkenan oleh presidennya, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim setelah pertemuan bersama Kim Swee dan pengurus pasukan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi di Johor Bahru, pada Khamis.

“Mengikut perancangan program persiapan skuad B-23 kebangsaan ini, kem latihan pusat tempatan akan diadakan selama 20 hari di Johor Bahru bermula pada 27 November ini hingga 16 Disember dengan dua perlawanan persahabatan tempatan dijadual pada 9 dan 14 Disember.

“Mereka akan terbang ke Mokpo pada 17 Disember untuk kem latihan pusat di sana selama 14 hari sehingga 30 Disember yang merangkumi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa pada 22, 25 dan 28 Disember, salah satunya berkemungkinan bertemu skuad B-23 Korea Selatan,” kata Hamidin.

Skuad pemenang pingat perak Sukan SEA itu kemudiannya akan terus ke Nanjing untuk kem latihan pusat terakhir selama lapan hari sehingga 6 Januari dengan satu perlawanan persahabatan antarabangsa diatur pada 5 Januari iaitu bertemu salah satu pasukan dari kumpulan lain yang turut akan beraksi pada Kejuaraan B-23 AFC 2018.

Tambah Hamidin lagi, program latihan pusat luar negara di dua venue itu dapat direalisasikan dengan adanya hubungan rapat Tunku Ismail dengan Presiden Persatuan Bolasepak Korea (KFA), Chung Mong Gyu dan juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak China (CFA), Zhang Jian.

“KFA akan menanggung semua kos latihan, penginapan dan makan minum sepanjang dua minggu skuad B-23 kebangsaan berada di Mokpo dan begitu juga yang diberikan CFA sepanjang seminggu kem latihan di Nanjing.

“Diharap dengan segala perancangan dan inisiatif yang dilakukan oleh DYAM Tunku Presiden ini, skuad B-23 kebangsaan dapat mempersiapkan diri dengan sempurna dan seterusnya mampu mempamerkan aksi terbaik pada Kejuaraan B-23 AFC 2018 itu nanti,” ujarnya.

Skuad negara dijadual tiba di Changshu pada 6 Januari untuk menghadapi dua perlawanan awal Kumpulan C bertemu Iraq pada 10 Januari dan Jordan pada 13 Januari sebelum aksi terakhir berdepan Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -