Pengendali skuad B-23 kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee akan mengumumkan senarai awal barisan pemain untuk menjalani latihan pusat skuad B-23 bagi menghadapi pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China pada Januari depan, selewatnya minggu depan.

Kim Swee dijangka mengekalkan pemain sama yang memenangi pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos lalu selain memanggil semula beberapa pemain yang memperkuatkan pasukan ketika pusingan kelayakan kejohanan itu di Bangkok antaranya Sean Eugene Selvaraj, Danial Ashraff Abdullah dan L.Kalaiharasan.

Malah jurulatih dari Melaka itu juga berkemungkinan akan menyenaraikan semula Farhan Roslan, Tommy Mawat Bada dan Nurshamie Iszuan yang digugurkan dari kedua-dua skuad kelayakan dan Sukan SEA kerana kecederaan sebelum ini.

Dengan enam pemain iaitu Adam Nor Azlin, Syamer Kutty Abba, Safawi Rasid, Norazam Azih, Syafiq Ahmad dan Ahmad Khairil Anuar Zamri meraih pengalaman bersama skuad senior kebangsaan kendalian Nelo Vingada setelah diturunkan ketika menentang Korea Utara, Kim Swee dilihat mempunyai pilihan pemain yang berkualiti untuk dibawa ke China.

Namun, Kim Swee berkata tiada sebarang layanan istimewa akan diberikan kepada mana-mana pemain termasuklah enam pemain itu sebaliknya kesemua mereka perlu meyakinkannya betapa mereka layak berada di dalam pasukan.

“Saya hanya akan senaraikan barisan pemain yang terbaik mengikut prestasi semasa. Memang, enam pemain itu boleh dikatakan berada pada satu tahap lebih tinggi berbanding pemain lain kerana telah menyarung jersi senior, mereka telah mendapat pendedahan dan pengalaman yang begitu berharga.

“Begitupun ia bukan tiket ataupun jaminan untuk mereka kekal dalam skuad saya, mereka perlu menunjukkan prestasi terbaik sepanjang persiapan nanti. Jika ada pemain lain yang lebih cemerlang, mengapa saya harus singkirkan pemain itu semata-mata untuk mengekalkan enam pemain ini,” ujar Kim Swee.

Di kejohanan yang akan membuka tirai pada 10 Januari itu, Malaysia diundi di dalam Kumpulan C bersama-sama tiga negara dari timur tengah iaitu Arab Saudi, Jordan dan Iraq.  

Sebagai persiapan awal, kem latihan pusat tempatan akan diadakan selama 20 hari di Johor Bahru bermula pada 27 November ini hingga 16 Disember dengan dua perlawanan persahabatan tempatan dijadual pada 9 dan 14 Disember.

Pasukan kemudiannya akan terbang ke Mokpo, Korea Selatan pada 17 Disember untuk kem latihan pusat dan persahabatan di sana selama 14 hari sebelum terbang ke Nanjing untuk kem latihan pusat terakhir selama lapan hari.

Skuad negara dijadual tiba di Changshu pada 6 Januari untuk menghadapi dua perlawanan awal Kumpulan C bertemu Iraq pada 10 Januari dan Jordan pada 13 Januari sebelum aksi terakhir berdepan Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.OLEH MUHD AIMAN 

  

- Advertisement -