Pemain muda Perak, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dan Muhammad Hadin Azman dari Felda United, menjadi dua pemain terbaharu dipanggil ketua jurulatih skuad kebangsaan, Nelo Vingada menjelang aksi menentang Korea Utara di Buriram, Thailand.

Ahmad Khairil, lebih dikenali sebagai Beto, 22, dan Hadin, 23, akan menggantikan tempat Darren Lok dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Baddrol Bakhtiar (Kedah) yang mengalami kecederaan pada aksi final Piala Malaysia, Sabtu lepas.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini, berkata seorang lagi pemain JDT, Junior Eldstal yang sebelum ini dalam senarai awal 24 pemain yang diumumkan pada 1 Nov lalu, turut tiada dalam senarai akhir Vingada, sekali gus menjadikan hanya 23 pemain akan dibawa ke Thailand.

Selepas menjalani latihan terakhir di Wisma FAM, Kelana Jaya pada petang ini, skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Buriram melalui Bangkok, pagi esok, untuk dua aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium I-Mobile, dengan Korea Utara menjadi tuan rumah pada 10 Nov, diikuti perlawanan timbal balik pada 13 Nov.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bulan lalu, bersetuju perlawanan itu berlangsung di gelanggang berkecuali, selepas tiga kali ditangguhkan sejak Mac lalu berikutan ketegangan hubungan diplomatik ekoran pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia 2) pada 13 Feb lepas.

Dengan berbaki tiga perlawanan, Malaysia menduduki tangga tercorot Kumpulan B selepas hanya meraih satu mata selepas seri menentang Hong Kong, dan tewas kepada Hong Kong pada perlawanan timbal balik serta Lubnan.

Lubnan berada di kedudukan teratas dengan 10 mata selepas empat perlawanan, diikuti Hong Kong (lima mata), manakala Korea Utara meraih dua mata.

Senarai 23 pemain:

———————–

Safiq Rahim, Ahmad Hazwan Bakri, Nazmi Faiz Mansor, Safawi Rasid, Fadhli Shas, Fazly Mazlan, Izham Tarmizi Roslan, Afiq Fazail, S. Kunanlan dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham kesemuanya dari JDT, serta Kiko Insa dan Nor Azam Abdul Azih (Pahang).

Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrom Abdul Kalam, Nazirul Naim Che Hashim, Amirul Azhan Aznan, Ahmad Khairil Anuar Zamri (semua dari Perak), Syafiq Ahmad (Kedah), Khairulazhan Khalid, Adam Nor Azlin (Selangor), Wan Zack Haikal Wan Nor Muhammad, Hadin Azman (Felda United) dan Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang).- BERNAMA

- Advertisement -