Pengendali skuad B-22 kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee, bakal menggugurkan tiga pemain apabila berakhirnya latihan pusat di Mokpo, Korea Selatan dan membawa skuad akhir seramai 23 pemain ke Nanjing, China sebagai persiapan terakhir menghadapi Kejuaraan AFC B-23.

Namun Kim Swee sudahpun mula pening, dan dia mengakui ia bukan tugas mudah untuk membuat keputusan itu tatkala kesemua 26 pemain yang menjalani latihan di sana sejak 17 Disember lalu menunjukkan komitmen tinggi, berada di tahap prestasi terbaik dan bekerja keras untuk meyakinkannya.

Pelbagai aspek akan dinilainya termasuklah aksi ditunjukkan mereka dalam perlawanan persahabatan – pasukan negara telah mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang Mokpo City dan Honam University sepanjang berada di sana.

Mereka akan menentang Jeonju Citizen pada Khamis ia akan menjadi peluang terakhir untuk pemain membuktikan kenapa mereka wajar kekal di dalam pasukan.   

“Mana-mana jurulatih yang berada di posisi saya akan berdepan situasi sama, pening memikirkan siapa yang akan digugurkan kerana semuanya bagus. Ia bukan senang untuk panggil dan cakap kepada mereka, kamu digugurkan dari skuad kerana saya tahu, dan pemain pun tahu mereka sudah buat yang terbaik.

“Sebagai jurulatih, saya tetap perlu bersikap professional dan saya akan buat penilaian menyeluruh dan akan memilih 23 pemain mengikut kesesuaian taktikal, formasi, posisi dan keperluan pasukan. Saya harap mereka akan terus menunjukkan kesungguhan dan ianya kekal sehingga lah kita bermain di pusingan akhir nanti,” ujar Kim Swee.

Kim Swee akan membawa pemainnya ke Nanjing untuk latihan pusat dan perlawanan persahabatan terakhir bermula 30 Disember – 6 Januari, dan kemudian terus terbang ke Jiangsu untuk pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23.

Malaysia akan membuka tirai aksi Kumpulan C dengan  menentang Iraq pada 10 Januari, diikuti Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari).    OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -