Dilucutkan hak beraksi dalam saingan Liga Super sememangnya cukup perit untuk ditelan namun ia tidak sedikitpun melunturkan motivasi Felda United yang memasang tekad mahu segera kembali mengegar liga utama bolasepak tanah air itu.

Kegagalan mendapatkan Lesen Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyaksikan Felda United yang menamatkan saingan Liga Super dengan cukup gah di tempat ketiga musim ini akur diturunkan ke 100PLUS Liga Premier dan tempat mereka digantikan oleh PKNP FC.

Ketua jurulatih, B.Satiananthan berkata, “Kecewa memang kecewa, tetapi kita lupakan dan pandang ke depan, lihat dari sudut pandang positif. Liga Premier tidak kurang hebatnya, apa yang penting sasaran kita mahu kembali ke Liga Super pada 2019 dan itu adalah cabaran buat mereka.

“Tidak mustahil sasaran itu boleh dicapai, pemain perlu terap mentaliti mahu menang apabila turun beraksi. Saya tengok mereka tidak terjejas, komitmen mereka sama, dan mereka semua mahu membuktikan bahawa Felda United sememangnya mempunyai kualiti untuk bermain di Liga Super.”

Satiananthan bercakap kepada pemberita selepas dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik di majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 pada Jumaat – ini adalah kali ketiga dia bergelar jurulatih terbaik Liga Malaysia setelah turut memenanginya pada 2010 dan 2012.

Skuad The Fighters juga menamatkan musim 2017 selaku semifinalis Piala Malaysia, kecundang 3-1 secara agregat kepada Kedah namun yang menariknya adalah kebangkitan bergaya yang ditunjukkan mereka ketika menyingkirkan PKNP 5-4 secara agregat di suku akhir.

 “Ia bukan mudah untuk merubah nasib sebuah pasukan yang bergelut dengan prestasi di pertengahan musim tetapi saya bertuah kerana memiliki pemain dan pengurusan yang sentiasa positif dan bekerja keras. Mereka turut berhak mendapat kredit di atas pencapaian saya ini.

“Saya dedikasikan juga kemenangan ini kepada isteri dan anak saya yang sentiasa memahami dan memberikan sokongan. Harapan saya ianya akan mendorong saya untuk memburu lebih banyak pencapaian dalam bidang kejurulatihan selepas ini,” kata jurulatih yang pernah membawa Kelantan menjulang Piala Malaysia 2010 itu.OLEH MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -