Hasrat ratu skuash negara, Dato’ Nicol David memburu kejuaraan dunia kesembilan lebur setelah tewas kepada bintang muda Mesir, Raneem El Welily dalam aksi suku akhir Kejohanan Dunia di Manchester, awal pagi Sabtu.

Raneem yang merupakan naib juara kejohanan ini pada April lalu mencatat kemenangan 3-1(11-8, 8-11, 11-6, 11-6) ke atas Nicol dan muncul pemain Mesir ketiga untuk layak ke separuh akhir, mengiringi Nour El Sharbini dan Nour El Tayeb.

Ianya adalah kekalahan kelima berturut-turut dialami Nicol kepada pemain berusia 28 tahun itu yang dikalahkannya dalam laluan menjulang kejuaraan dunia buat kali kelapan di Kaherah, Mesir tiga tahun lalu.

Setelah aksi seimbang pada dua set pertama yang menyaksikan kedudukan terikat 1-1, Nicol, pemain nombor enam dunia dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri dengan taktikal serta permainan pantas Raneem.

Musuh utama Nicol, tidak lain kudrat dan daya ketahanannya yang semakin dimamah usia – pemain itu kini berusia 34 tahun – namun kerja kerasnya untuk menghalang Raneem dari mencatat kemenangan mudah wajar diberikan kredit.

“Menentang Nicol sentiasa menjadi perlawanan yang sukar, kerana semua tahu Kejohanan Dunia ini adalah satu daripada kegemarannya dan dia akan cuba buat yang terbaik. Itu terbukti apabila dia bangkit untuk menang set kedua. Saya terpaksa menggandakan usaha dan berada di tahap terbaik untuk memastikan kemenangan,” ujar Raneem, dipetik dari laman rasmi kejohanan.

Aksi separuh akhir nanti akan menemukan Raneem dengan pemain Perancis, Camille Serme – satu-satunya pemain bukan Mesir yang masih kekal dalam kejohanan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -