Bekas pemenang pingat emas sukan Asia , Alex Lim Keng Liat adalah contoh terbaik apabila bercakap tentang determinasi. Seorang yang berasal dari sebuah bandar kecil, Keng Liat menyerlah mencipta nama sebagai perenang berkelas dunia dalam sukan yang boleh dikatakan satu daripada sukan paling mencabar  buat anak Malaysia.

Hakikat yang tidak ramai tahu, Keng Liat tidaklah mempunyai ketinggian yang ideal buat seorang perenang – hanya berketinggian 1.70m namun itu tidak pernah sekalipun mengganggu fikirannya.

Perenang kelahiran Sandakan ini berusia 16 tahun ketika dia menyertai Bolles School di Florida, Amerika Syarikat, atas bantuan Majlis Sukan Negara.

Di sana, dia menghabiskan masa berjam-jam lamanya di kolam renang dan apa yang membuatkan Keng Liat terus mengorak langkah adalah kerana dia tahu ada potensi dalam dirinya dan determinasi cukup tinggi mahu menyerlahkannya.  

Keng Liat mengakui sememangnya menjadi impiannya untuk berlatih di luar negara.

“Saya suka berenang, sejak dari usia 10 tahun tetapi keluarga saya bukan orang senang, mereka tidak mampu untuk menghantar saya ke Amerika jadi saya tahu saya perlu menjadi perenang yang sangat-sangat bagus untuk merealisasikan hasrat itu.

“Saya berlatih bersungguh-sungguh dan bekerja keras buat yang terbaik dalam pertandingan tempatan untuk membuatkan orang nampak saya, dengan harapan, dapat tajaan atau biasiswa. Saya juga nak lihat sejauh mana saya boleh pergi dalam sukan renang, dan saya sedar saya tidak akan ke mana kalau terus berada di sini (Sandakan).

“Saya tidak mempunyai ramai rakan yang boleh menandingi kelajuan saya, kekadang rasa seolah bersaing dengan bayang sendiri. Itu mungkin membuatkan saya berasa sudah cukup baik, tetapi saya tahu di Amerika ada beratus perenang sama seperti saya. Jadi saya mahu cabar diri.

“Ianya sesuatu yang normal bagi saya untuk berenang sekitar enam jam sehari di Amerika,” kata Keng Liat yang memenangi 11 pingat emas secara keseluruhan dalam lima penampilan Sukan SEA dari 1997 – 2005.

Dia hanya berusia 16 tahun ketika layak beraksi di Sukan Olimpik Atlanta pada 1996, tetapi ianya di Sukan Asia Bangkok dua tahun kemudian yang menyaksikan nama Keng Liat mengegar arena renang tanah air dan menjadi satu fenomena.

Keng Liat menjadi atlet Malaysia pertama untuk memenangi pingat emas acara 100m kuak lentang, dan lebih menarik dengan catatan masa yang baru.

“Saya memenangi pingat perak dalam acara 200m dalam penampilan sulung beberapa hari sebelum itu jadi saya tahu saya boleh lakukannya,” ujarnya.

Lebih banyak pencapaian cemerlang dilakar empat tahun kemudian di Sukan Komanwel Manchester dan Sukan Asia Busan empat tahun kemudian walaupun tidak memenangi emas.

Sebutir pingat perak dan gangsa, dalam pertandingan yang turut membabitkan Ian Thorpe dan Matt Welsh dari Australia di Manchester, satu pencapaian menakjubkan sekaligus menyaksikan Keng Liat digelar sebagai ‘the mighty mouse’ oleh media tempatan tatkala dia menjadi perenang Malaysia pertama untuk berada di kedudukan podium di pentas Sukan Komanwel.

Terlepas mempertahankan pingat emas Sukan Asia hanya dengan beza masa terlalu kecil kepada perenang Jepun, Atsushi Nishikori pastinya kekecewaan yang cukup sukar ditelan seorang atlet komited seperti Alex.

“Kami dipisahkan dengan beza masa yang terlalu kecil, saya sangat teringin mahu memenangi emas tetapi ia jelas bukan hari saya. Strategi saya cukup mudah, saya turun ‘all out’ dan mendahului perlumbaan dengan harapan dapat kekalkannya sehingga ke penamat.

“Semuanya berjalan lancar seperti dirancang sehinggalah ke beberapa meter yang terakhir apabila saya merasakan saya tidak boleh lagi mengerah kudrat lebih dari itu, seperti menjadi kaku,” jelasnya mengingati semula detik itu.

Satu daripada detik paling gemilang dalam perjalanan karier Keng Liat adalah ketika layak ke final 100m kuak lentang Kejohanan Dunia 2003 di Barcelona. Dia memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan masa 54.77s di peringkat separuh akhir.

Rekod itu bersama-sama dua lagi rekod kebangsaan dalam acara 50m (Julai 2002) dan 200m (Disember 1998) masih belum diperbaharui sehingga 2017 menutup tirai.

Keng Liat bersara selepas Sukan Asia 2006 di Doha, dia terjun ke bidang kejurulatihan dan kemudiannya dilantik ketua jurulatih renang Sabah. Sebagai pengiktirafan kepada sumbangannya, Majlis Olimpik Malaysia pada 2010 melantiknya sebagai chef de mission Sukan Olimpik Remaja edisi sulung di Singapura.

Keng Liat yang mempunyai Ijazah dalam Pengurusan Perniagaan dari Universiti Berkeley di California, berterima kasih kepada setiap peluang yang hadir dalam hidupnya.

“Pergi ke Amerika Syarikat adalah pengalaman yang mematangkan saya, saya tiada pilihan tetapi perlu untuk belajar bercakap inggeris walaupun saya sebelum itu pergi ke sekolah cina. Untuk dua tahun pertama ianya sukar, tetapi kemudian saya semakin yakin dengan diri.

“Ia juga mengajar saya untuk menjadi lebih baik terutama dalam soal pengurusan kewangan apatah lagi kini saya sudah berkeluarga,” kata Keng Liat yang kini merupakan ahli perniagaan.OLEH MUHD AIMAN

 

- Advertisement -