Don't Miss

Kuala Lumpur serba mantap, mampu beri tentangan sengit

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2017/12/kuala-lumpur-serba-mantap-mampu-beri-tentangan-sengit">
Twitter
Pinterest

Juara 100PLUS Liga Premier, Kuala Lumpur memasang tekad mahu mencipta impak besar dalam musim pertama di Liga Super musim depan sekaligus membuktikan kehadiran mereka bukan sekadar sebagai pelengkap jadual semata-mata.

Kembali ke liga utama bolasepak tanah air selepas lima musim, pasukan warga kota diyakini bukan lagi berstatus pasukan ‘ala kadar’ dan bergelut di zon penyingkiran – ini dapat dilihat pada persiapan rancak dilakukan termasuk merekrut pemain-pemain berprofil tinggi bagi memperkuatkan pasukan.

Setelah mengikat pemain kelahiran Brazil yang juga bekas pemain tengah Selangor, Junior Aparecido dari Boa Esporte Clube (kelab Liga Serie B Brazil) dan pemain pertahanan serba boleh, Firdaus Fauzi, Kuala Lumpur membawa masuk pula pemain veteran berpengalaman luas, Indra Putra Mahyudin.

Pasukan bimbingan Fabio Maciel da Silva itu tidak berhenti di situ, dengan yang terbaru giliran seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak dibawa masuk.

Selain itu mereka juga telah mengekalkan khidmat sebahagian besar tonggak utama pasukan termasuklah penjaring terbanyak Guilherme Paula da Silva, Paolo Josue, Hazwan Rahman, Ashri Chuchu, Farid Ramli, Azmeer Yusoff dan pertahanan skuad B-22 kebangsaan, Irfan Zakaria. 

Biarpun gagal mendapatkan khidmat sasaran utama mereka, Everton Heleno dari pasukan Serie A Brazil kerana masalah peribadi pemain itu, Maciel yang membimbing Kuala Lumpur sejak pertengahan musim ini percaya dia boleh membentuk sebuah skuad mantap dan kompeten dengan mempertaruhkan adunan pemain lama dan baru.

“Junior adalah pemain yang sangat bagus, memang saya mengidamkannya untuk bersama pasukan ini sejak sekian lama malah pernah cuba memancingnya ketika mengambil alih tugas sebagai jurulatih pada pertengahan musim baru-baru ini, tetapi tidak mendapat pelepasan kelabnya.

“Indra pula semua sedia maklum mengenainya, dia masih di tahap terbaik pada usia 36 tahun, saya tidak kisah pasal usia selagi pemain itu boleh memberikan yang terbaik buat pasukan. Pengalamannya juga pasti sesuatu yang menguntungkan pasukan, pemain-pemain muda boleh menjadikannya sebagai contoh.

“Begitu juga Zaquan, dia membantu Perak ke separuh akhir Piala Malaysia, kita dapatkan pemain yang mana prestasinya masih memuncak bukan sandarkan pada reputasi lalu, jadi saya percaya kehadiran pemain baru untuk bergandingan dengan pemain sedia ada boleh menjadikan pasukan ini kuat,” katanya.

Kuala Lumpur sudahpun memulakan latihan pra-musim mereka apabila seramai 19 pemain turun menjalani latihan di Padang Pudu Ulu, Cheras pada Selasa termasuklah Indra, Junior dan Firdaus. Irfan sedang menjalani latihan bersama skuad B-22 kebangsaan yang dalam persiapan menghadapi pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 manakala Hazwan pula sedang mengerjakan umrah.   

Laman sosial rasmi pasukan itu melaporkan rundingan masih lagi berlangsung antara pengurusan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur dan tiga pemain iaitu Helmi Remeli, Abdul Manaf Mamat dan pemain import baru Boburjon Akbarov.OLEH MUHD AIMAN 

Please follow and like us:
0