Lima pasukan – Kuantan FA, Angkatan Tentera Malaysia, Sarawak, Perlis dan Felcra FC diarah menyelesaikan isu tunggakan gaji dan pampasan dituntut pemainya dalam tempoh dua minggu ke 30 hari.

Jawatankuasa Status FAM membuat keputusan itu selepas mesyuarat ketiga bagi penggal 2017-2021 pada Khamis dan sekiranya lima pasukan itu gagal berbuat demikian, mereka berkemungkinan akan berdepan tindakan yang lebih berat apabila kes dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib.  

Kuantan FA paling ‘tenat’ apabila mereka perlu menjelaskan tunggakan gaji berjumlah keseluruhan RM145,250 kepada enam pemain iaitu Amirullah Abd Razab (RM36,100), Shafiq Mat Isa (RM36,000), Nur Zhafri Zaini (RM27,800), Nabilah Khan Razali (RM26,600), Fikri Abdullah (RM11,250) dan Hasmie Aziz (RM7,500) sebelum 15 Januari 2018.

Perlis pula diarah membayar tunggakan gaji berjumlah RM6,000 kepada Elfie Elyaz Harizam dalam masa 14 hari sementara ATM dikehendaki menjelaskan tunggakan gaji berjumlah RM72,000 dan elaun perumahan sebanyak RM9,000 kepada bekas penjaga golnya, Razi Effendi Suhit dalam masa 30 hari dari penerimaan keputusan ini.

Sarawak yang menamatkan kontrak K.Thanaraj dan Iqbal Suhaimi secara sebelah pihak perlu membayar pampasan gaji masing-masing sebanyak RM60,000 dan RM58,000 dalam tempoh 30 hari manakala Felcra yang menamatkan kontrak Azi Shahril Azmi juga secara sebelah pihak diarah membayar pampasan RM65,000 kepada pemain itu.

Mesyuarat bagaimanapun menolak tuntutan dikemukakan empat bekas pemain Kelab Bolasepak DYS – Zainizam Marjan, Reithudin Imran, Razid Gafar dan June Azrul Lalah berhubung tunggakan gaji.  OLEH MUHD AIMAN

- Advertisement -