LIGA M DAN RANKING KELAB/PASUKAN

Kancah liga Malaysia tidak terlepas daripada cerita panas dan manis.

Isu seperti tunggakan gaji pemain melibatkan beberapa pasukan masih berlaku selain tindakan tidak profesional sesetengah penyokong.

Keengganan Pahang untuk beraksi di dalam saingan Piala AFC musim depan sesuatu yang merugikan untuk Malaysia khususnya.

Setiap pasukan yang berdaftar dibawah FAM akan direkodkan dan mempunyai ranking berdasarkan pertandingan yang disertai.

Samada sedar atau tidak, Johor Darul Takzim (JDT) berada di ranking ke 34 diperingkat Asia susulan kejayaan mereka diperingkat tempatan dan antarabangsa.

Mungkin angka 34 dilihat sebagai teruk, namun jika diteliti 33 pasukan yang berada di atas JDT, kesemuanya merupakan pasukan atau kelab dari kuasa kuasa besar seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Korea Selatan, China, malah Australia.

Manakala kelab dari negara seperti Thailand, Indonesia, Filipina atau Singapura berada dalam ranking ke 48 dan ke bawah.

Keputusan memainkan peranan, tetapi sebagai pasukan yang mungkin masih baru dalam pertandingan yang lebih kompetitif, pendedahan adalah langkah permulaan.

(sumber: (http://globalfootballranks.com/en/Continent-Teams-Ranking/3)

Selepas JDT, pasukan dari liga Malaysia kedua adalah Selangor FA (ke 94) diikuti Pahang FA (ke 98) terbaik di rantau Asia.

Penglibatan pasukan ini di pertandingan seperti Piala AFC atau Liga Juara Asia (ACL) akan menambahkan lagi kutipan mata dari semasa ke semasa.

Malah, ia secara tidak langsung akan menaikkan taraf pertandingan liga Malaysia samada diperingkat Asia Tenggara mahupun Asia.

Sumber – Akhbar Harian Nasional, Indonesia (21 Disember  2017)

Bagi 2017, taraf pertandingan Liga Malaysia di rantau Asia Tenggara adalah ditangga kedua dibelakang Thailand.

Manakala Vietnam, Filipina dan Singapura melengkapkan lima tangga teratas.

Diperingkat Asia Timur, Malaysia berada di tangga keenam dibelakang Korea Selatan, China, Jepun, Australia dan Thailand.

Segalanya datang dari usaha dan ‘pasukan’ yang dibawa Tunku Ismail ketika mengambil alih JDT pada 2013.

Dalam tempoh empat tahun bermula 2014, rekod yang dipegang JDT samada diperingkat domestik mahupun antarabangsa masih belum ada pasukan yang mampu menyamai rekod ini.

Dari satu sudut, JDT wajar dipuji dan dijadikan contoh, dan Tunku Ismail berusaha untuk membawa legasi itu ke dalam FAM.

TMJ juga wajar memberi pandangannya terhadap isu yang berlaku melibatkan bolasepak di Malaysia, namun dari satu aspek, pandangan, kritikan atau ulasan yang diberi bukan melibatkan individu atau mana mana pihak, sebaliknya lebih menjurus untuk membina.

Namun, dari satu sudut yang lain, sebagai Presiden FAM, Tunku Ismail perlu untuk ‘menerima’ kritikan atau pandangan daripada pihak lain kerana ia mungkin mengandungi isi tersirat demi kebaikan bolasepak negara.

Cerita manis, pahit, dan sebagainya sudah tertulis di dalam lembaran sejarah bolasepak di Malaysia  sepanjang tahun ini yang pastinya meninggalkan seribu satu kenangan kepada pelbagai pihak.

Paling terkesan pastinya pemilik kerusi nombor satu pengurusan tertinggi bolasepak di Malaysia, FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sembilan bulan bergelar Presiden FAM selepas dilantik pada Mac, Tunku Ismail sedikit sebanyak mengubah senario dalam bolasepak di Malaysia.

Sesi ‘suai kenal’ dalam liga Malaysia serta pengurusan di dalam FAM serta persatuan bolasepak di seluruh negara menjadi agenda pertama sebelum mengatur langkah ke peringkat seterusnya.

Pertemuan dengan peminat bolasepak tempatan antara pendekatan yang baru untuk mendengar sendiri keluhan dan permintaan peminat bolasepak tempatan.

SKUAD KEBANGSAAN

Namun, cabaran yang diterima dan ditanggung Tunku Ismail termasuk ‘menanggung’ malu susulan prestasi hambar skuad senior kendalian Nelo Vingada.

Hanya enam bulan the Proffesor diberi peluang untuk melihat sekaligus membimbing skuad kebangsaan untuk memburu kelayakan ke Piala Asia 2019.

Vingada bukan tuhan untuk melihat semua aspek dalam sekelip mata sekaligus mengubah sistem pasukan kebangsaan.

Namun, itulah yang berlaku apabila rentetan kekalahan sebanyak enam daripada tujuh perlawanan peringkat antarabangsa sekaligus menutup peluang Malaysia untuk ke Piala Asaia 2019.

Implikasi daripada kekalahan ini, ranking Malaysia semakin terperosok ke tangga 174 dunia.

Mahu atau tidak, Vingada akur untuk undur diri sekaligus digantikan dengan Tan Cheng Hoe.

Hakikat yang pasti, jika Malaysia menggandingkan kesemua jurulatih terbaik dunia yang pernah membawa pasukan masing masing menjuarai Piala Dunia sekalipun, Malaysia tidak akan memperoleh perubahan atau keputusan yang diinginkan.

Ini kerana mentaliti sesetengah pihak yang mahukan keputusan drastik dalam tempoh yang singkat masih wujud.

Tugas yang kini dipikul Tan Cheng Hoe diharapkan tiada lagi sasaran drastik diletakkan kepada skuad kebangsaan.

Sebaliknya, FAM perlu meletakkan perancangan jangka panjang termasuk merencana program terbaik untuk membentuk pemain pemain bawah 22, dan 19 tahun yang memperlihatkan keputusan yang cukup positif.

Skuad bawah 22 tahun negara kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya membawa pasukannya ke pusingan akhir Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 selepas mengungguli saingan peringkat kumpulan H.

Namun, impian untuk melihat pingat emas kembali diraih skuad ini di Sukan SEA ke 29 Ogos lalu tidak kesampaian apabila tumpas di tangan seteru utama, Thailand.

Mengikuti jejak skuad bawah 22 tahun negara adalah skuad bawah 19 tahun negara kendalian bekas jurulatih Kelantan dan JDT, Bojan Hodak.

Pengendali kelahiran Croatia ini menamatkan penantian Malaysia selama 12 tahun apabila membawa pasukannya ke perlawanan pusingan akhir Kejuaraan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2018.

Persiapan yang singkat tidak merencatkan matlamat barisan kejurulatihan dan pemain pemain Bojan Hodak untuk membuktikan kemampuan mereka berdepan dengan kuasa kuasa besar dari rantau Asia Tenggara.

 

2018 menjanjikan satu lagi episod yang lebih mencabar buat pengurusan FAM, FMLLP dan kesemua yang terlibat dalam bolasepak di Malaysia.

Sasaran yang perlu diberi perhatian, Piala Suzuki AFF yang ia perlu dijadikan sebagai sasaran utama Tan Cheng Hoe sebagai permulaan.

Tunku Ismail pastinya sudah mampu mencongak perancangan untuk Liga M dan pasukan bolasepak kebangsaan bukan sahaja 2018, malah, tahun tahun berikutnya. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -