Peluang Raja Pecut negara, Khairul Hafiz Jantan atau terkenal dengan jolokan ‘The Speedy Jantan’ meraih tiket Kategori B ke Sukan Komanwel dalam acara 200 meter masih samar berikutan ketiadaan kejohanan dalam negara mahupun luar negara dalam masa terdekat.

Khairul Hafiz yang memegang rekod kebangsaan 200m dengan catatan 20.90 saat itu berharap awal tahun depan beliau dapat menyertai mana-mana kejohanan dalam negara atau luar negara bagi membolehkan beliau memperbaiki catatan masa untuk layak bagi kategori B.

“Acara 200 meter, mungkin belum ada rezeki lagi. Kalau saya layak merit ke Sukan Komanwel bagi acara itu satu bonus cuma ketika ini saya tidak tahu kejohanan terdekat yang boleh saya sertai untuk melayakkan diri ke Sukan Komanwel.

“Saya akui untuk buat catatan masa 20.64s (yang diperlukan untuk Sukan Komanwel) memang sukar, tetapi kalau ada kejohanan terdekat, saya mahu mencuba,” katanya kepada pemberita ketika di temui di KL Sports City, Bukit Jalil.

Ketika ini, Khairul Hafiz telah layak kategori B acara 100m untuk ke Sukan Komanwel dan beliau hanya menjalani latihan seperti biasa bersama jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim bagi meningkatkan teknik larian sebagai persiapan ke Sukan Komanwel di Gold Goast pada 4-15 April tahun depan.

Untuk layak secara merit dan mendapat tiket kategori A di Sukan Komanwel bagi acara 100m, beliau memerlukan catatan masa 10.15s
29th SEA Games KL2017 Olahraga Athletics 100m - Khairul Hafiz Jantan

Mengenai program latihan di luar negara bagi persiapan ke Sukan Komanwel, Khairul Hafiz berkata ketika ini beliau hanya berlatih di dalam negara sahaja dan menyerahkan kepada pihak atasan untuk menentukan keputusan menghantar atlet menjalani latihan di luar negara.

“Sebagai atlet tugas saya menjalani latihan dengan jurulatih. Saya percaya pihak atasan akan memahami keperluan kami dengan melihat cara latihan atlet olahraga,” katanya.

Dalam pada itu mengulas kenyataan seorang lagi atlet pecut negara, G Aravin Thevarr yang berazam mahu memadam rekod kebangsaan miliknya dalam acara 200m itu, Khairul Hafiz berkata semangat itu sangat penting supaya mendorong beliau supaya lebih bekerja keras tingkatkan prestasi di trek balapan.

“Bagi saya sangat penting ada pesaing yang mempunyai semangat seperi Aravin. Rekod kebangsaan tidak boleh dipegang lama, saya sendiri perlu berusaha keras untuk melakukan masa yang lebih baik daripada rekod sekarang,” katanya.

Selain Sukan Komanwel, Khairul Hafiz yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 100m dengan masa 10.18s turut layak beraksi di Sukan Asia pada September tahun depan selepas memenangi pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun ini.

Mengikut sistem penarafan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), atlet atau pasukan yang melepasi kelayakan atau mempunyai merit menyertai sukan antarabangsa diletakkan dalam Kategori A dengan segala perbelanjaan atlet atau pasukan ditanggung oleh MOM sementara atlet atau pasukan berpotensi yang gagal melepasi had kelayakan di bawah kategori B perlu menanggung pembiayaan sendiri.-BERNAMA

 

- Advertisement -