Penang Black Panthers mencipta sejarah muncul juara edisi sulung Sepaktakraw League (STL) Champions Cup setelah menewaskan Perak Bison dalam aksi final pada Ahad.

Kejayaan itu sekaligus melengkapkan gelaran berganda buat pasukan dari utara tanah air itu setelah terdahulu menjulang trofi STL Premier buat musim kedua berturut-turut dua minggu lalu.

Black Panthers membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan lebih manis tekong mereka Syahir Rosdi dinobatkan Tekong Terbaik dan Pemain Paling Bernilai STL Champions Cup sementara pemain mereka yang dipinjam dari Selangor Pistons, Farhan Adam dinobatkan Apit Kiri Terbaik.

Selaku naib juara, Perak Bison pula pulang dengan RM10,000 manakala Fadzil Mustafa dinobatkan sebagai Apit Kanan Terbaik.

Turun beraksi di hadapan lebih seribu penyokong yang membanjiri Dewan Majlis Perbandaran Serdang Jaya, gandingan Syahir-Farhan-Azlan Alias berada dalam kelas tersendiri untuk mencatat kemenangan 21-14, 21-15 ke atas regu Perak Bison.

Gandingan Perak Bison, Meor Zulfikar Mat Amin-Fadzil -Izham Idris nyata bergelut untuk mengulangi prestasi sama yang ditunjukkan ketika mengejutkan kelab Thailand, Manang City Voyagers di peringkat separuh akhir.

Menariknya, ia adalah kemenangan kelima berturut-turut buat Black Panthers dan mereka juga muncul juara dengan mengekalkan rekod bersih tidak tewas walaupun satu set.

Jurulatih Blak Panthers, Sufian Napiah berkata, “Kita memulakan permainan dengan cemerlang di kedua-dua set, mendahului jauh tidak membenarkan lawan untuk kembali dalam permainan. Pemain-pemain menterjemah sebaiknya arahan taktikal dan cukup berkesan sewaktu menyerang dan bertahan.  

“Ditambah pula sorakan hebat penyokong sepanjang perlawanan, menaikkan lagi semangat mereka untuk mencipta satu sejarah, semua faktor itu membantu pemain mengekalkan momentum sehingga tamat permainan.”

Sementara itu, trio Natthawut Naewprom-Yothin Tansee-Tanaphon Sapyen membantu Manang City Voyagers menamatkan cabaran di tempat ketiga menerusi kemenangan 2-0 (21-15, 21-8) ke atas Kelantan Warriors. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

 

Senarai penuh pemenang :

Juara : Penang Black Panthers

Naib juara : Perak Bison

Tempat ketiga : Manang City Voyagers (Thailand)

Pemain Paling Bernilai : Syahir Rosdi (Penang Black Panthers)

Tekong Terbaik : Syahir Rosdi (Penang Black Panthers)

Apit Kiri Terbaik : Farhan Adam (Penang Black Panthers)

Apit Kanan Terbaik : Fadzil Mustafa (Perak Bison)

- Advertisement -