Pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying membuka tirai tahun 2017 dengan reputasi gah selaku pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016, dan berada dalam landasan memburu lebih kegemilangan.

Namun sebaliknya terjadi perjalanan 2017 tidak sepertimana diidamkan – kecederaan bahu dialami Liu Ying memaksa mereka untuk dipisahkan. Liu Ying fokus pada pemulihan manakala Peng Soon pula digandingkan dengan pemain muda Cheah Yee See.

Gandingan itu tidaklah mengecewakan. Mereka mara ke separuh akhir SuperSeries Terbuka Denmark dan Terbuka Macau dan membuat penampilan bertenaga di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan memenangi pingat gangsa.

Kini Peng Soon-Liu Ying sudah pun kembali digandingkan, mereka memasang impian untuk membuka buku baru, menjadikan tahun 2018 sebagai tahun kebangkitan tatkala beberapa kejohanan besar sedang menanti.

“Misi utama kami selepas kembali digandingkan, merebut tempat di dalam skuad Sukan Komanwel (Gold Coast) yang mana berbaki empat bulan sahaja lagi. Kami tahu akan berdepan saingan sukar, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai sedang dalam prestasi yang cukup baik. “

“Kami gembira semua beregu campuran ketika ini sedang menunjukkan peningkatan drastik dan anggap ini satu cabaran buat kami. Kami akan bersaing secara sihat demi nama negara.  

“Kami perlu cepat mendapatkan rentak dan tampil konsisten untuk melakar keputusan yang baik dalam kejohanan yang akan disertai kerana kami bukan sahaja mahu disenaraikan di dalam skuad dan membuat penampilan di Sukan Komanwel, tetapi mahu membuktikan kami masih lagi terbaik dengan memenangi emas,” kata Peng Soon.

Ketika edisi 2010 di New Delhi, India, Peng Soon-Liu Ying kandas di separuh akhir kepada pasangan England, Nathan Robertson-Jenny Wallwork namun emas edisi berkenaan tetap menjadi milik Malaysia menerusi Koo Kien Keat-Chin Eei Hui.

Pada 2014, Malaysia gagal pertahankan emas apabila Peng Soon yang bergandingan dengan Pei Jing kerana kecederaan dialami Liu Ying, tewas di separuh akhir dan kemudiannya tewas pada perlawanan penentuan tempat ketiga.

Jurulatih beregu campuran, Pang Cheh Chang sebelum ini memberitahu bahawa status Peng Soon-Liu Ying selaku pemenang pingat perak Sukan Olimpik bukan jaminan untuk mereka diberi tiket mudah ke Komanwel sebaliknya prestasi mereka akan dinilai sekurang-kurangnya dalam empat kejohanan pertama yang disertai pada 2018.OLEH MUHD AIMAN 

 

 

 

- Advertisement -