Bekas penyerang kebangsaan, Ashaari Samsudin kembali ke pangkuan pasukan negeri kelahirannya, Terengganu sekaligus menjadi pemain tempatan terakhir direkrut naib juara Liga Premier 2017 itu.

Pemain yang terkenal dengan jolokan ‘the silent killer’ itu menyarung jersi naib juara Liga Super dan Piala FA, Pahang musim ini namun tidak begitu menyerlah dan namanya tenggelam terus dari arena bolasepak tempatan gara-gara lebih banyak memanaskan bangku simpanan.

Nama Ashaari sememangnya cukup popular di kalangan penyokong pasukan Terengganu atau akan dikenali sebagai Terengganu FC I (TFCI) musim depan kerana dia antara tonggak yang membantu pasukan itu menjulang Piala FA pada tahun 2011, juga di bawah bimbingan Irfan Bakti.

Gandingannya bersama Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahya dilabel trio serangan paling berbisa pada 2011 dan mereka turut membantu Terengganu menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua selain melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia tahun tersebut.

“Dia pernah bermain di bawah saya jadi sudah tentu tiada masalah buatnya menyesuaikan diri dengan corak latihan saya. Saya tahu cara permainannya, tetapi perlu diingat itu bukan jaminan untuk Ashaari mendapat tempat dalam skuad utama.

“Sepertimana pemain lain, dia juga kena bekerja keras dan meyakinkan saya dan diharap dengan adanya Ashaari, akan memberi pilihan tambahan kepada barisan serangan TFC dan mewujudkan satu persaingan yang sihat,” kata ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

Selain Ashaari, penyerang lain di dalam skuad sang penyu adalah Kipre Tchetche yang digelar ‘Drogba Terengganu’, Kim Hyun Woo yang direkrut dari PKNP FC, Andrew Lee Tuck dari Negeri Sembilan serta penyerang berbisa dari Kuantan FA, Abdul Malik Mat Ariff.

Pasukan itu sudah mempunyai 26 pemain (21 tempatan + 5 import) dan Irfan mengesahkan mereka tidak akan lagi mencari pemain baru yang lain untuk dibawa masuk dengan fokus kini terarah sepenuhnya kepada proses mempersiapkan pasukan untuk memberi tentangan sengit dan memenangi sekurang-kurangnya satu piala pada musim 2018.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -