Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) hari ini mengikat pemain Indonesia, Ferdinand Sinaga dan pemain kelahiran Brazil, Bruno Lopes bagi tempoh setahun sekaligus melengkapkan kuota pemain import pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2018.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan ketika dihubungi Sports247 berkata Ferdinand yang merupakan anggota skuad pemenang pingat perak Sukan SEA 2011 bagaimanapun hanya akan menyertai pasukan itu bermula 1 Februari depan.

“Hari ini, kita tandatangani MoU (memorandum persefahaman) terlebih dahulu kerana kita menghormati kontraknya bersama PSM Makassar yang hanya akan tamat pada 23 Januari. Bruno pula sudah pun menandatangani MoU sebelum ini dan dia akan tiba di Kota Bharu tengah malam ini dan kemudiannya terus ditawarkan kontrak,” katanya.

Ferdinand yang berusia 30 tahun, mengharungi perjalanan karier yang cemerlang di Indonesia dan pernah menjulang Liga Super Indonesia sebanyak dua kali iaitu bersama Semen Padang pada 2011/2012 dan Persib Bandung pada 2014 selain pernah beberapa kali membuat penampilan bersama skuad kebangsaan.

Sementara Bruno pula menyertai The Red Warriors setelah membuat keputusan tidak menyambung kontraknya bersama Persija Jakarta. Dua pemain ini muncul import terakhir direkrut skuad bimbingan Sathit Bensoh selepas Morgaro Gomis, Cassio De Francisco Jesus dan Do Dong Hyun.

Apa yang menimbulkan persoalan, adakah kedatangan Ferdinand untuk bermain di Liga Malaysia mendapat restu dari Persatuan Sepak Bola Indonesia? Atau akan tercetus satu lagi drama baru sepertimana terjadi kepada pasukan Selangor?

Sehingga kini, Selangor masih menanti dua pemain import dari republic itu, Evan Dimas Darmono dan Ilham Udin Armayn untuk melapor diri. Mereka sepatutnya melapor diri pada minggu lalu namun tidak berbuat demikian kerana Presiden PSSI, Edy Rahmayadi tidak merestui kedatangan mereka untuk bermain di Liga-M.

Edy sebelum ini menyifatkan mana-mana pemain Indonesia yang bermain di sini sebagai tidak patriotik dan sekadar mengejar gaji lumayan malah turut menyatakan bahawa ia akan menjejaskan  persiapan negara itu menghadapi Sukan Asia tahun ini di Jakarta justeru melarang pemainnya beraksi di sini.

Namun dengan Ferdinand mahupun KAFA tidak langsung menunjukkan rasa gusar, rumusan yang boleh dibuat mungkin larangan Edy itu hanya kepada pemain yang masih aktif mewakili pasukan kebangsaan, atau mungkin juga larangan tersebut dikenakan hanya kepada pemain tertentu sahaja. 

Ferdinand yang diajukan soalan mengenai sebab dia membuat keputusan menyertai TRW, berkata, “Pasukan ini mempunyai reputasi yang bagus, mereka pernah menjulang treble pada 2012 dan sentiasa ada kualiti untuk muncul sebagai pencabar yang kuat, malah salah satu pasukan yang mempunyai penyokong yang begitu ramai.”OLEH MUHD AIMAN

- Advertisement -