Tonggak skuad kebangsaan, Akmarulnizam Idris menjaringkan hatrik untuk membantu pasukan pilihan, Kuantan Rangers membuka tirai pusingan kelayakan Liga Futsal Kebangsaan 2018 dengan kemenangan besar 11-1 ke atas Kelantan Kota Bharu – PKB dalam aksi Kumpulan B di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam pada Khamis.

Skuad bimbingan Mohd Faizul  Ghaffar yang merupakan juara Liga Futsal Brunei 2017 turun dengan misi menebus kecewa tahun lalu di mana mereka gagal melepasi pusingan kelayakan LFK tanpa mencatat sebarang kemenangan.

Skripnya jelas berbeza kali ini namun babak awal permainan Kuantan Rangers bergelut menyesuaikan diri dan ianya PKB yang terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sentuhan Ahmad Aqil Khalis.

Kuantan Rangers menyamakan kedudukan menerusi bekas pemain kebangsaan Khairul Rizuan Hariff Pagilah dan selepas itu segalanya tampak mudah buat pasukan dari Pahang itu untuk mendominasi perlawanan dan mendahului 5-1 di separuh masa pertama.

Akmarulnizam meledak hatrik termasuk satu menerusi sepakan penalti, Zulhafiz Zulkifli menjaringkan dua gol manakala pemain muda skuad kebangsaan, Harith Naim Mohd Nasir menjaringkan satu gol.

“Ianya satu permulaan yang cukup positif, pemain bermain mengikut arahan tetapi kami perlu terus fokus untuk aksi kedua menentang Pahang Mustangs. Kita tidak pernah menentang mereka, jadi kekuatan mereka sukar diduga dan saya tidak mahu pemain memandang rendah mana-mana pasukan dan sentiasa bersedia memberikan yang terbaik,” kata Mohd Faizul.

Turut berada dalam senarai penjaring adalah Hanafi Mohd Nasir, Imanazuan Mohd Daud, Hafizuddin Mohd Desa dan Norkhairi Abdul Rahman –  kesemuanya menjaringkan satu gol.

Di kala Kuantan Rangers berpesta gol, nasib berbeza dialami adik mereka iaitu skuad B-20 tahun yang kecundang 1-6 kepada Selangor United MPSJ dalam aksi Kumpulan F.

Perlawanan lain menyaksikan KL Marcerra United menewaskan Perlis 4-1 (Kumpulan A), Sarawak menewaskan Kelab Bolasepak Darul Ridzuan 4-1 (Kumpulan C), Uitm FC menewaskan Pulau Pinang NTFA 5-2 (Kumpulan D) dan Selangor PJ Tigers menewaskan Kelantan 2-1 (Kumpulan E).

Aksi kelayakan LFK yang bermula hari ini menyaksikan persaingan 18 pasukan yang dibahagikan kepada enam kumpulan bagi kategori lelaki di mana juara kumpulan dan dua naib juara terbaik akan melangkah ke suku akhir dan hanya dua pasukan yang melangkah ke final akan mendapat tiket beraksi di LFK 2018.

Sementara itu dalam aksi kategori wanita, KL Imigresen dan Negeri Sembilan mencatat keputusan seri 2-2 manakala Sabah dan Selangor United MPSJ pula seri 1-1. Kategori wanita hanya dilangsungkan secara round robin dan empat pasukan akan mara beraksi di LFK2018.

Aksi kedua akan bersambung pada Jumaat. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -