Baihakki buat Kuala Lumpur gigit jari saat akhir

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2018/01/baihakki-buat-kuala-lumpur-gigit-jari-saat-akhir">
Twitter
Pinterest

Pemain veteran Singapura, Baihakki Khaizan yang sepatutnya menandatangani kontrak bersama juara 100PLUS Liga Premier, Kuala Lumpur pada hari ini tidak muncul untuk berbuat demikian sebaliknya memilih untuk beralih haluan pada saat akhir dengan memilih untuk menyarung jersi kelab terkemuka Liga Thailand, Muangthong United.

Baihakki sebelum ini menolak beraksi dengan kelab Arab Saudi, Jeddah Club atas alasan kontrak yang ditawarkan adalah terlalu pendek (4 bulan) justeru menyatakan persetujuan untuk bermain dengan Kuala Lumpur malah pengumuman mengenai kehadiran pemain itu juga telah dibuat oleh skuad warga kota itu pada Rabu.

Namun difahamkan dia menerima tawaran saat akhir dari naib juara liga elit Thailand itu dan mendapati ianya sukar untuk ditolak, sepertimana dilaporkan media Singapura.

“Apabila saya terima panggilan dari pegawai Muangthong pada Selasa malam, saya terkejut. Perasaannya sama seperti Jeddah kata mahukan khidmat saya, ianya luar biasa. Mereka menamatkan saingan liga utama Thailand di tempat kedua, salah sebuah pasukan terbaik negara itu.

“Malah mereka merupakan Liga Thailand sebanyak empat kali dalam tempoh sembilan musim terakhir, dan dalam tempoh yang sama itu mereka hanya sekali sahaja menamatkan musim di luar kelompok tiga teratas (2014). Jadi ianya mengujakan saya apatah lagi saya pada hakikatnya sudah menghampiri penghujung karier,” ujar pemain itu.

Bukan sahaja dalam saingan domestik, Muangthong United juga antara pasukan yang cukup gah di peringkat benua di mana mereka pada musim lalu layak ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara Asia (ACL) manakala pada musim ini mereka akan berdepan juara Liga Super, Johor Darul Takzim yang juga bekas kelab Baihakki di pusingan kelayakan ACL.

Bagi Kuala Lumpur, keputusan dibuat Baihakki nyata hadir sebagai tamparan besar pada ketika Fabio Maciel Da Silva sudahpun menganggap kehadiran pemain yang pernah membuat 129 penampilan antarabangsa itu dapat melengkapkan kuota pemain import sekaligus memperkasakan benteng pertahanan.

Buat masa ini, pertahanan mereka diperkuatkan oleh pemain dari Uzbekistan, Boburjan Akbarov serta dua pemain tempatan iaitu Hishamudin Shaari dan Saifulnizam Miswan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

Please follow and like us:
0