Pencapaian skuad negara di Kejuaraan AFC B-23 nyata cukup manis untuk dikenang, biarpun kandas di suku akhir, pujian wajar diberi, keringat wajar dihargai kerana ia adalah pencapaian terbaik bolasepak negara dalam tempoh beberapa dekad.

Walaupun hanya pertandingan peringkat umur dan banyak juga pasukan gergasi Asia menjadikan kejohanan itu lebih kepada medium pendedahan, peminat bolasepak tempatan tidak boleh dipersalahkan jika mahu berpesta di atas kejayaan berada di kelompok lapan terbaik Asia kerana mereka begitu lama mendambakan pencapaian seperti ini.

Namun usah melebih-lebih, sepertimana ulasan Sports247 sebelum ini, perjalanan masih jauh, ini cuma satu permulaan dan ia sepatutnya dijadikan batu loncatan. Asas sudah ada, apa yang ditagih adalah konsistensi untuk terus mengorak langkah.

Dek kerana terlalu teruja, ramai yang memberi cadangan agar skuad senior negara dibubar dan digantikan dengan skuad kendalian Dato’ Ong Kim Swee ini. Persoalannya, apakah mereka berpijak pada realiti sebenar?

Skuad muda negara sememangnya dilimpahi bintang-bintang masa depan yang cukup berkualiti –antaranya Safawi Rasid, Adam Nor Azlin, Nor Azam Azih (sekadar memetik beberapa nama) manakala yang lebih muda adalah seperti Akhyar Rashid, Hadi Fayyadh dan Nik Akif Syahiran Nik Mat (kesemuanya berusia bawah 19 tahun).

Benar mereka ada kualiti, mereka tidak gentar bersaing di pentas besar, tetapi bersediakah mereka untuk menggalas tanggungjawab dan tekanan yang lebih berat sebagai skuad utama (senior) negara? Jawapannya tidak! Di peringkat umur, kekuatan kesemua pasukan sama ada berstatus gergasi mahupun kerdil adalah lebih kurang sama.

Tetapi apabila menginjak menjadi pemain senior, ia sudah sama sekali berubah. Contoh paling mudah, jika di peringkat B-23 kita boleh tewaskan Arab Saudi, tidak semestinya barisan pemain yang sama ini boleh menang ke atas skuad senior Arab Saudi yang akan beraksi di Piala Dunia 2018.

Skuad senior lazimnya lebih baik dari semua aspek – kecergasan, stamina, fizikal, mental, mindset, taktikal, teknikal, kemahiran individu dan sebagainya. Jadi belum masanya untuk pasukan B-23 ini dinaikkan pangkat kepada skuad senior, mereka perlu lebih pendedahan untuk menjadi lebih kompeten dan lebih berani.

Namun sebagai satu daripada proses pembelajaran, beberapa pemain sudah boleh dipanggil memperkuatkan pasukan senior – bermain bersama, dibimbing oleh pemain yang sudah sedia ada di dalam skuad dan bukannya dengan merombak keseluruhan skuad.

Ia adalah satu daripada proses pembelajaran dan perlu berterusan. Lihat bagaimana Jepun membentuk skuad mereka dan tidak pernah ketandusan pemain berkualiti. 

Mereka bukan membentuk sebuah pasukan ‘mi segera’ dengan mengumpulkan pemain setahun atau dua tahun sebelum sebarang pertandingan, dan apabila menyerlah terus diserap ke skuad senior.

Sebaliknya skuad mereka dibentuk menerusi pelan jangka panjang sejak 10-15 tahun dan barisan pemain mereka didedahkan dengan pelbagai pertandingan kompetitif di pentas antarabangsa.

Ini termasuklah Kejuaraan AFC B-23 ini yang mana mereka cuma menghantar majoritinya pemain berusia B-20 tahun, di mana barisan pemain inilah yang dijangka membawa cabaran di Sukan Olimpik Tokyo 2020.  

Dalam masa sama mereka mempunyai skuad senior yang akan beraksi di Piala Dunia, apabila skuad itu ketandusan pemain, pemain muda mereka sudah matang dan bersedia direkrut bila-bila masa dan kitaran itu akan berterusan.   

Jadi, contoh sudah ada. Berpijaklah pada realiti, pemain-pemain muda kita semuanya berkualiti. Mereka perlukan masa untuk menggalas tanggungjawab lebih besar. Apa yang mereka perlukan adalah sokongan dan motivasi untuk menjadi lebih baik.

Jangan tenggelamkan mereka dengan pujian melangit, dan wang ringgit. Jika semuanya di landasan yang betul, mereka pasti akan menjadi watak-watak yang merubah wajah bolasepak Malaysia.  OLEH MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -