Kejayaan pasukan negara mara ke suku akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 yang sedang berlangsung di China, tidak dinafikan pencapaian terbaik buat arena bolasepak tanah air dalam tempoh beberapa dekad.

Menang buat kali pertama ke atas gergasi Asia, Arab Saudi dalam tempoh 37 tahun dan kini berada di kelompok lapan pasukan terbaik Asia, tidak hairanlah kejayaan skuad bimbingan Dato’ Ong Kim Swee diraikan begitu meriah dan seluruh negara bagaikan berpesta.

Bermula dengan kekalahan besar 1-4 kepada Iraq dalam aksi pertama, sang harimau bangkit mengikat Jordan 1-1 dalam aksi kedua dan pada ketika tiada harapan besar diletakkan, pada ketika ramai menyangka mereka akan diaibkan Arab Saudi yang juga finalis 2013 dalam aksi terakhir, mereka membuktikan sebaliknya, membuktikan tiada apa yang mustahil dalam bolasepak.

Walaupun pendekatan bermain secara bertahan selepas menjaringkan gol pertama menerusi Danial Amier Norhisham  serta gagal mencipta peluang untuk mencari tambahan jaringan tidak disenangi rata-rata penyokong, semangat juang dan determinasi tinggi para pemain sepanjang perlawanan sewajarnya diberikan kredit. 

Begitupun, masa untuk berpesta sudah berakhir. Cukup-cukuplah mengagungkan pencapaian ini, perjuangan belum lagi selesai, biarlah mereka fokus untuk aksi suku akhir Sabtu ini menentang juara Kumpulan D – sama ada ianya Korea Selatan, Australia, Vietnam mahupun Syria.

Janganlah mewujudkan tanggapan seolah-olah layak ke suku akhir ini sudah cukup untuk mereka mendabik dada, biarlah mereka mengimpikan satu kejayaan yang lebih besar dan terus langkahan. Usahlah tenggelamkan mereka dengan pujian berlebihan dan publisiti yang dikhuatiri hanya akan merosakkan ‘mindset’.  

Kim Swee sendiri sedar hakikat ini dan dia tidak mahu pemainnya terbang di awangan dan terbuai.

Walaupun sasaran awal melepasi halangan peringkat kumpulan sudah dicapai, pengendali itu percaya ianya tidak salah untuk meletak sasaran lolos pula ke peringkat empat terakhir walau siapapun lawan yang akan ditentang di suku akhir sekaligus melakar satu lagi sejarah gemilang dan menandakan permulaan era baru bolasepak negara. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -