Saingan kejohanan golf berpasukan Piala Eurasia 2018 yang bakal bermula 12 Januari depan dijangka menjanjikan persaingan sengit diantara 12 pemain Eropah dan Asia yang akan berentap selama tiga hari di Kelab Gol Glenmarie, Subang.

Kesemua pemain sudah berkumpul untuk sesi suai kenal dan merasai sendiri pengalaman bermain di lapangan golf Glenmarie.

Turun dengan status juara bertahan, pasukan Eropah yang kini dibimbing Bjorn Thomas tidak merasakan sebarang tekanan untuk mempertahankan kejuaraan buat kali kedua.

Namun, sasaran utama pemain kelahiran Denmark ini untuk melihat dan menilai kemampuan pemain pemain Eropah ke arah persiapan menjelang Piala Ryder yang dijadual berlangsung pada September.

“Di antara kejohanan golf yang ada, match play adalah acara yang paling menjadi tumpuan kerana jumlah penonton, kaedah permainan yang berbeza beza selain liputan media yang meluas,”kata Bjorn Thomas.

Walaubagaimanapun, Thomas tidak mahu memandang rendah kemampuan pasukan Asia kerana 12 pemain yang dipilih mempunyai kelebihan tersendiri.

“Sudah tentu kami akan berwaspada dengan pasukan Asia kali ini kerana mereka menunjukkan banyak peningkatan dan ia dapat dilihat di mana mana kejohanan golf, ramai yang melepasi cut off.

“Secara keseluruhan, mereka mempunyai pemain yang berkualiti seperti pemain pemain ternama di mana mana kejohanan,”kata Thomas lagi.

Pemain yang pernah beraksi ketika edisi kedua pada 2016, Bernd Wiesberger gembira apabila kembali semula untuk menggalas tugas selaku wakil pasukan Eropah.

Beliau juga sependapat dengan Thomas Bjorn, barisan pemain Asia kali ini lebih mantap.

“Sudah pasti seronok untuk kembali beraksi di kejohanan ini dan sudah pasti kami akan cuba mempertahankan kejuaraan ini.

“Bermain dengan pasukan yang membariskan pemain pemain terbaik dari Asia pastinya sukar kerana mereka menunjukkan peningkatan yang cukup baik,”kata Bernd Weisberger.

Piala Eurasia juga menjadi medan terbaik untuk memburu kejuaraan sulung bagi musim 2018 selepas berehat panjang pada penghujung 2017.

Kemenangan yang diraih sekaligus menjadi penyuntik semangat buat pemain pemain untuk mengekalkan rentak permainan yang konsisten di kejohanan seterusnya.

Sementara itu, Kapten pasukan Asia, Arjun Atwal yang menggalas tugas selaku peneraju utama pasukan ini selepas Jeev Milkha Singh gagal membawa kemenangan dua tahun lalu tidak rela melihat kekalahan kali kedua pada tahun ini.

Hanya yang menjadi keresahan buat Arjun adalah berdepan masalah untuk mencari formula terbaik bagi membentuk keserasian pemain pemain yang dipilih.

“Dipilih sebagai kapten adalah satu penghormatan untuk saya dan perbincangan dengan semua pemain untuk mencari pasangan masing masing.

“Pemain pemain ini beraksi di jelajah Eropah, PGA, dan Asia, mereka mempunyai masalah komunikasi kerana tidak begitu fasih dengan bahasa Inggeris.

Bagi mengatasi masalah ini, Arjun cuba mewujudkan suasana yang lebih ceria di dalam bilik persalinan selain mengadakan perbincangan secara kerap tentang keperluan dan perancangan untuk menghadapi lawan.

Salah seorang pemain yang dilabel sebagai senior dalam pasukan Asia, Kiradect Aphibarnrat tidak melihat masalah komunikasi sebagai halangan.

Ini kerana setiap pemain yang dipanggil Arjun adalah yang terbaik dari rantau Asia dan mereka sudah pun mempunyai matlamat.

“Apa sahaja boleh berlaku sepanjang kejohanan ini dan kami bersedia untuk menewaskan pasukan lawan.

“Kali pertama bermain di sini, saya gemuruh. Tetapi kali ini semua pemain ‘dahagakan’ kemenangan dan ia menjadi matlamat utama kami, memburu kejayaan,”kata Kiradect Aphibarnrat.

Malah, pemain kelahiran Thailand ini merasakan pukulan dan puttingnya dalam tempoh enam tahun sejak menyertai Piala Eurasia edisi pertama pada 2014 menampakkan banyak peningkatan.

Edisi 2016, pasukan Eropah merangkul trofi selaku juara dengan keputusan 18 1/2 berbalas 5 1/2 manakala edisi sulung pada 2014, kedua dua pasukan dinobat selaku pemenang bersama selepas mengumpul 10 mata.

 

 

 

 

 

- Advertisement -