Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei sanggup membayar denda kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk tidak menyertai beberapa kejohanan yang ditetapkan kerana mengambil faktor usia dan ketahanan fizikalnya.

Pemain nombor dua dunia itu berkata tumpuannya adalah kepada kejohanan yang mempunyai standard lebih tinggi termasuk persiapan rapi untuk Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel, Piala Thomas, Sukan Asia serta All England pada tahun ini.

Berdasarkan peraturan baharu BWF, semua pemain yang berada dalam kelompok 15 terbaik dunia diwajibkan menyertai 12 kejohanan setahun iaitu tiga kejohanan tahap dua, lima kejohanan tahap tiga dan empat kejohanan tahap empat.

“Saya akan berbincang dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jika perlu bayar denda, saya sanggup bayar. Usia saya bukan 25 tetapi 35 tahun ini. Sepatutnya ketika ini saya dan beberapa pemain lain berehat dan membuat persiapan All England pada Mac ini. BWF telah keluarkan peraturan sebegini, kami pemain perlu akur,” katanya selepas perlawanan semalam.

Ekoran peraturan baharu itu, kebanyakan pemain terkemuka dunia tersingkir awal daripada saingan Perodua Masters Malaysia yang sedang berlangsung minggu ini di Arena Axiata, Bandaraya Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.

Chong Wei yang turut tewas pada perlawanan pembukaan itu berkata rata-rata pemain tidak dapat memberikan permainan yang baik kerana masing-masing mempunyai jadual kejohanan yang padat.

Dua jaguh badminton dunia, Chen Long dan Lin Dan serta Son Wan Ho dari Korea Selatan antara pemain terkemuka dunia yang turut terkeluar daripada saingan pusingan pertama.

Bekas juara dunia lima kali, Lin Dan turut menyuarakan perkara yang sama berkata semua pemain terkemuka dunia akan memberi tumpuan kepada kejohanan yang lebih tinggi dan secara realistiknya tiada pemain dapat mengekalkan prestasi cemerlang dalam semua kejohanan.

Sementara itu, pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen dari Denmark berkata peraturan baharu itu akan mengganggu kecergasan pemain kerana terlalu banyak kejohanan yang perlu disertai pada awal tahun.

Justeru, beliau berkata penting untuk pemain ranking tinggi menjaga keadaan fizikal dan mentalnya untuk menjadi lebih bersaing dalam kejohanan.

“Banyak kejohanan yang perlu kami sertai dan memerlukan masa untuk berlatih, bagaimanapun kami mempunyai banyak perlawanan bulan ini. Ekoran ini, saya percaya banyak pemain hebat tidak dapat melakukannya kerana tidak mempunyai masa yang cukup untuk berlatih.

“Saya percaya para pemain akan memberikan yang terbaik, kami perlu menjaga keadaan fizikal supaya tidak cedera, kami juga perlu mengekalkan kecergasan sebelum menyertai mana-mana kejohanan,” kata Axelsen.BERNAMA

 

- Advertisement -