Perlawanan pembukaan Boost Sportsfix Piala Super 2018 diantara Persija Jakarta dan Ratchaburi FC pastinya menjadi tumpuan khususnya peminat setia dua kelab ini di Indonesia dan Thailand.

Pengendali Persija Jakarta, Stefano Cugurra tidak menumpukan kemenangan dalam perlawanan menentang kelab dari Thailand, Ratchaburi FC malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Kami hanya bermain dengan 15 pemain sahaja esok. 12 pemain sudah tiba semalam, tiga lagi baru sampai petang tadi.

“Bukan kemenangan yang saya cari malam esok kerana matlamat saya adalah untuk membentuk kombinasi pemain menerusi sistem permainan yang akan saya terapkan kerana kebanyakkan pemain musim ini baru bersama kelab ini,”kata Cugurra selepas sesi latihan di Wisma FAM.

Tambahnya lagi, sebahagian lagi pemain kini berada Jawa Timur kerana sedang menyertai Piala Suramadu yang turut disertai wakil kelab Liga Super Malaysia, Kedah FA, Madura United dan Persela Lamongan.

Tiada unsur pemain utama atau pemain simpanan ketika ini kerana bagi Cugurra, fokus utama kelab adalah untuk persiapan menjelang musim baru liga domestik di Indonesia.

“Saya sudah berada di Thailand selama tujuh tahun sebelum ke Indonesia. Boleh dikatakan saya memahami corak permainan pasukan lawan (Ratchaburi FC) dan kami akan menyusun strategi untuk bermain malam esok.

“Sebahagian pemain lagi kini beraksi di Piala Suramadu dan baru sahaja selesai menentang Kedah FA, dan mengenai satu lagi pasukan lawan, Kelantan FA, mereka mempunyai barisan pemain yang baik jadi ianya sesuatu yang bagus untuk kami sebagai persiapan untuk musim baru,”katanya lagi.

Selepas menentang Ratchaburi FC malam esok, Persija Jakarta akan kembali semula ke Bukit Jalil untuk berdepan Kelantan FA pada 16 Januari.

 

- Advertisement -