Sejarah dilakar di Lapangan Golf Glenmarie, Subang apabila pasukan Eropah mempertahankan kejuaraan kejohanan berpasukan (matchplay) Piala Eurasia 2018 selepas menutup saingan edisi ketiga dengan 14 – 10.

Dua pusingan dengan format Fourball dan Foursomes terdahulu nyata didominasi pasukan Asia dibawah tuah cuaca hujan.

Namun hari terakhir, pasukan Eropah ternyata sukar untuk ditentang ketika beraksi dalam format singles.

Tiga pemain Eropah, Alex Noren, Rafa Cabrerra Bello dan Tommy Fleetwood ternyata sukar untuk ditandingi apabila melakar kemenangan mutlak.

Alex Noren yang bersaing dengan pemain negara Nicholas Fung hanya bermain sehingga lubang 16 untuk memuktamadkan satu mata milik Eropah dengan keputusan 4&2 (four and two).

Juara order of merit Jelajah Asia 2017, Gavin Kyle Green juga hambar di pusingan akhir apabila tewas dengan keputusan 4&3 (four and three), ketinggalan 4 UP (four up) kepada Rafa Cabrerra Bello selepas bermain 15 lubang.

Manakala Tommy Fleetwood memberikan mata ketiga untuk Eropah selepas membenam cabaran SSP Chawrasia, 2&1 apabila melakar 2 UP (two up) selepas 17 lubang.

Kapten Asia, Arjun Atwal menarik nafas lega apabila Poom Saksansin dipaksa bertarung sehingga lubang terakhir sebelum memberikan satu mata penting untuk pasukannya dengan kemenangan 1 UP (one up).

Kedudukan bagaimanapun semakin selesa untuk Eropah apabila terus mendahului pasukan Asia dengan 10 1/2 mata berbanding 7 1/2 mata apabila Bernd Wiesberger memberikan kemenangan seterusnya untuk Eropah, mengatasi pemain Thailand, Phachara Khongwatmai dengan keputusan 2&1 (two and 1).

Rakan senegara Phachara, Kiradect Aphibarnrat juga akur memberikan mata kepada Eropah selepas tewas kepada Aleksander Levy dengan keputusan 3&1 (three and one) sekaligus Eropah terus mendahului dengan 11 1/2 mata

Thomas Pieters dan Tyrrell Hatton mengesahkan Eropah selaku juara bertahan buat pertama kali selepas mengatasi lawan masing masing.

Manakala Matthew Fitzpatrick dan Sunghoon Kang berkongsi setengah mata (halved), dan dua wakil terakhir Asia, Yuta Ikeda dan Li Haotong masing masing menyumbang satu mata sekaligus menutup saingan Piala Eurasia edisi ketiga dengan keputusan 14 – 10 memihak Eropah.

 Hadiah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

  

 

 

 

 

 

- Advertisement -