Satu lagi sejarah tercipta apabila Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan LaLiga untuk bekerjasama dalam pembangunan aspek-aspek urus tadbir dan teknikal dalam pengurusan liga.

Majlis perjanjian persefahaman ini disempurnakan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku Pengerusi FMLLP dan Oscar Mayo Pardo selaku Ketua Pembangunan Antarabangsa LaLiga di sini, hari ini.

Perjanjian kerjasama ini akan berlangsung selama 3 tahun dengan menyaksikan La Liga dan FMLLP bekerjasama untuk membangunkan pelan tindakan (blueprint) 50 tahun untuk Liga Malaysia sebagai agenda pertama.

Kedua-dua pihak juga akan menganjurkan seminar dan bengkel oleh pakar dengan memfokuskan kepada pengurusan sukan, pemasaran, pengurusan kewangan, keselamatan stadium, pembangunan sosial serta projek komuniti melalui tanggungjawab sosial korporat.

Melalui perjanjian persefahaman ini juga, LaLiga akan memudahcara kepada pemain di LaLiga untuk bermain di Malaysia serta berusaha mengatur perlawanan di antara pasukan di LaLiga di Malaysia semasa pra musim.

Selain itu, kedua-dua pihak akan memastikan usaha terbaik untuk mencapai integrasi pemain Malaysia di Sepanyol dan sebaliknya.

Tunku Ismail berkata, “Saya sangat gembira dengan kolaborasi ini. Kami boleh bekerjasama dalam pembangunan bolasepak jangka masa panjang dalam semua aspek. Kita adalah organisasi yang masih muda lagi, jadi kita perlu belajar dengan mereka yang berpengalaman dan saya rasa La Liga adalah yang paling sesuai untuk kita berkolaborasi bukan sahaja dari aspek pemasaran tetapi kualiti permainan bola sepak.

“Saya tidak akan memegang jawatan selamanya dan niat saya ikhlas untuk memajukan bola sepak tanah air dan nanti siapa sahaja yang akan memegang jawatan Presiden FAM atau Pengerusi FMLLP akan dibantu oleh blue print yang disediakan La Liga untuk tempoh 50 tahun.”

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam pula menambah, “Kami bangga menjadi liga pertama di Asia Tenggara dan kedua di Asia selepas Liga Jepun bekerjasama dengan La Liga. Ini pastinya kerana hubungan baik Tunku Pengerusi FMLLP dengan negara luar.

“Perjanjian ini juga menjadi kenyataan selepas La Liga percaya dengan potensi yang ada pada Liga Malaysia.”

Turut hadir pada majlis ini adalah Ivan Codina, Pengarah Urusan La Liga Asia Tenggara, Australia, Jepun dan Korea Selatan, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam dan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Abdul Ghani Hassan.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -