Pelumba muda dalam pembikinan, Muhammad Zawawi Azman mahu menjadikan jelajah berbasikal, Jelajah Indonesia yang akan bermula esok sebagai platform persiapan untuk saingan Kejuaraan Berbasikal Asia (ACC) 2018 di Velodrom Kebangsaan di Nilai, Negeri Sembilan.

Pelumba berusia 23 tahun ini antara enam pelumba yang mewakili pasukan Sapura Cycling, TSC untuk bersaing dengan 14 lagi pasukan yang turut mengambil bahagian dalam Jelajah Indonesia.

“Untuk perlumbaan yang pertama ini saya akan buat yang terbaik dari sini saya akan tahu dimana prestasi semasa bagi bulan pertama untuk tahun 2018,”kata Zawawi.

Selain Zawawi, lima lagi pelumba yang dipilih adalah Muhd Adiq Hussaini Othman, Aiman Cahyadi, dan tiga pelumba import baru TSC, Dylan Page, Jesse Ewart, dan Mario Vogt.

Tiada masalah bagi pelumba kelahiran Perak ini untuk menyesuaikan diri bersama sama pelumba baru TSC, malah beliau lebih memberi penumpuan terhadap persiapan untuk ACC.

“Perlumbaan ini sudah tentu penting untuk saya untuk mengetahui samada cukup atau masih perlukan latihan bagi persiapan ke ACC.

“Jelajah Indonesia ini mempunyai banyak laluan berbukit , justeru ia menjadi persiapan terbaik sebelum ke ACC,”katanya lagi.

Peringkat pertama esok akan bermula dari Jogjakarta menuju ke Ngawi dengan jarak 130 kilometer dimana laluan secara keseluruhannya terdiri daripada laluan berbukit.

Dalam pada itu, sebelum beraksi untuk Jelajah Indonesia, Zawawi yang dikenali dengan Awie turut menjalani latihan di Velodrom Kebangsaan sebagai persiapan awal untuk menghadapi ACC bulan depan.

Beliau akan mengambil bahagian dalam acara omnium dan meletakkan sasaran untuk menaiki podium.

“Jurulatih daripada Majlis Sukan Negara ada datang berjumpa dan mengatakan saya sudah bersedia untuk mengambil bahagian dalam acara omnium di sini (Velodrom Kebangsaan, Nilai).

“Saya sudah menjalani latihan untuk persediaan bagi acara omnium sejak 9 Januari lalu di Nilai untuk biasakan diri dengan trek. Acara ini juga melibatkan endurance, jadi latihan untuk displin lebuhraya juga boleh digunakan kerana omnium bukan seperti acara pecut yang disertai Azizul Hasni,”katanya lagi.

Beliau tidak menolak bakal menerima tentangan sengit daripada pelumba pelumba dari Kazakhstan, Hong Kong, dan Iran.

Namun, Zawawi meletakkan keyakinan untuk memberi tentangan sekaligus meraih podium.

 Mengulas tentang statusnya sebagai pelumba terbaik Malaysia dikalangan 17 pelumba negara yang bersaing bagi ranking Asia, Zawawi tidak mahu terlalu terburu buru.

“Sudah tentu saya mahu cuba kekalkan dan memperbaiki ranking bagi tahun ini. Tetapi tidak mahu terburu buru dan fokus satu persatu di setiap perlumbaan yang disertai,”kata Zawawi lagi.

Beliau menduduki tangga ke 149 dalam senarai pelumba Asia yang dikeluarkan oleh Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada 2017.

Ditangga kedua pelumba Terengganu Cycling (TSG) Mohd Zamri Salleh yang berada di kedudukan 202 diikuti Nik Mohd Hazwan Zulkifli yang berada di kedudukan 218.OLEH KU MOHD LUFTI 

 

 

 

 

 

- Advertisement -