Juara 100PLUS Liga Premier, Kuala Lumpur hanya menunggu masa untuk mendapatkan khidmat pemain veteran Singapura, Baihakki Khaizan secara rasmi setelah pemain itu menyatakan persetujuan menyarung jersi pasukan itu bagi musim 2018.

Skuad warga kota diketahui sudah lama berminat mendapatkan Baihakki yang turut pernah menyarung jersi Johor Darul Takzim pada 2014 dan rundingan antara kedua-dua pihak sudahpun berlangsung lebih sebulan.

Malah, ia hampir sahaja menemui penamat kecewa setelah Baihakki menjalani pemilihan bersama kelab Arab Saudi – Jeddah Club dan sudah hampir bersetuju menyertai pasukan itu dengan rundingan sudah memasuki fasa akhir.  

Begitupun, Jeddah dilaporkan hanya menawarkan kontrak pendek selama empat bulan kepada pemain berusia 34 tahun itu justeru membuatkannya mempertimbang semula tawaran berkenaan dan akhirnya membuat keputusan untuk kembali bermain di Liga Malaysia tatkala KL menawarkannya kontrak semusim.

Baihakki adalah anggota skuad Lions XII yang menjulang Liga Super pada 2013 dan musim berikutnya berpindah ke JDT. Namun perjalanan kariernya bersama Harimau Selatan tidak seindah diimpikan apabila dia digugurkan belumpun separuh musim atas alasan tidak dapat menyesuaikan diri dengan taktikal jurulatih dan kembali ke Lions XII sebagai pemain pinjaman.

Tamat tempoh pinjaman, Baihakki yang mewakili Singapura 129 kali di pentas antarabangsa kembali ke Johor Bharu sekadar untuk bermain bersama JDT II selama dua musim dan pada 2017 menyarung jersi Warriors di Liga Singapura.  

Kehadiran Baihakki melengkapkan kuota lima import skuad warga kota yang sudah sedia mempunyai tiga pemain kelahiran Brazil iaitu Guilherme De Paula, Paolo Josue dan Juninho Aparecido serta Bobur Akbarov dari Uzbekistan.

Dia juga pemain Singapura pertama untuk menyarung jersi KL selepas era kegemilangan Fandi Ahmad, Malek Awab dan K.Kannan.  OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -