Barisan pemain muda negara ada banyak sebab untuk berasa kecewa setelah tewas kepada Korea Selatan yang sekaligus menunjukkan mereka jalan keluar dari Kejuaraan AFC B-23.

Kecewa kerana pada hakikatnya mereka beraksi jauh lebih baik dari negara gergasi Asia itu, kecewa kerana permainan memukau yang ditunjukkan tidak memadai untuk mereka memenangi perlawanan dan kecewa kerana tempat di separuh akhir sepatutnya menjadi milik mereka.

Apapun, Malaysia pulang dari China, tanpa sebarang sebab untuk berasa malu. Mereka berjaya membuka mata negara-negara gergasi Asia yang lain dengan pencapaian yang dilakar di bumi China.

Lupakan kekalahan kepada Iraq yang membuatkan mereka dikritik hebat, tetapi pandanglah dari sudut positif. Tanpa ‘koyak mental’ mereka bangkit lebih bertenaga ketika mengikat Jordan 1-1 dan kemudian menyingkirkan naib juara 2013, Arab Saudi.

Menentang Korea Selatan, walaupun ketinggalan seawal 13 saat perlawanan bermula menerusi jaringan Cho Jae Wan, mereka menunjukkan kesungguhan dan semangat juang tinggi, mendominasi permainan di separuh masa pertama dan membuatkan Korea tenggelam punca untuk seketika.

Malah lebih membuatkan Korea tergamam, N.Thanabalan berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-67 sekaligus membuktikan betapa Malaysia bukan mudah untuk mereka ratah.

Mereka membuatkan Korea Selatan cemas dan terpaksa bekerja keras dengan hanya jaringan lewat permainan yang membantu finalis 2016 itu untuk mengesahkan kemenangan.

Mengambil kira ianya adalah penampilan sulung Malaysia di kejohanan ini, sudah tentu ianya wajar dibanggakan dan satu permulaan yang baik bagi tahun 2018 namun Dato’ Ong Kim Swee tidak mahu pemainnya menganggap ini sudah cukup bagus sebaliknya menuntut mereka untuk terus konsisten.

“Pemain lebih yakin, lebih matang, dan mereka perlu sasarkan pencapaian yang lebih tinggi lagi. Jangan berpuas hati walaupun ia satu pencapaian yang sangat baik, apabila balik ke Malaysia, kita perlu tengok balik setiap perlawanan yang telah dilalui belajar. Pengalaman yang diraih mereka di sini cukup tidak ternilai dan ini yang akan menjadikan mereka menjadi lebih baik,” ujar Kim Swee.

Kepada semua 23 pemain negara yang telah diberi kepercayaan menyarung jersi negara di China, tahniah. Anda layak mendapat kredit di atas usaha, kerja keras dan pengorbanan meninggalkan keluarga dan tanah air lebih sebulan lamanya. Jadikan kejayaan ini sebagai batu loncatan!OLEH MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -