Persiapan hampir tiga minggu dalam cuaca sejuk di Korea Selatan dan China tidak membantu skuad bolasepak bawah 23 tahun kebangsaan untuk membuka kempen pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 dengan nota positif sepertimana diimpikan.

Turun dengan hajat besar mahu melakar kejutan dan membuka mata ramai, sebaliknya terjadi apabila anak buah Dato’ Ong Kim Swee tewas dengan jaringan besar 1-4 di Stadium Pusat Sukan Changshu sekaligus memilih laluan sukar untuk menempatkan diri sebagai dua pasukan terbaik Kumpulan C.

Belumpun lima minit perlawanan berlangsung, Iraq bimbingan Abdulghani Shahad sudahpun berada 1-0 di depan setelah tandukan Mohamed Jaffal hasil hantaran Hamzah Adnan gagal diselamatkan penjaga gol negara Ifwat Akmal Chek Kassim.

Malaysia cuba bangkit mengimbangi permainan namun ianya Iraq yang berjaya menggandakan kelebihan selepas 28 minit perlawanan, kali ini menerusi Amjed Attwan yang merembat masuk dari jarak dekat setelah pertahanan gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Hajat menyaksikan aksi lebih bertenaga untuk sekurang-kurangnya memburu keputusan seri berkecai apabila Iraq mengukuhkan dominasi menerusi sentuhan penyudah  Alaa Mwahi pada minit ke-56 – terima kasih kepada pertahanan yang ‘tidur’ sehingga mudah membenarkan pemain itu membuat larian solo ke dalam kotak penalti sebelum rembatannya menewaskan Ifwat.

11 minit berbaki, Safawi Rasid menceriakan kem negara apabila mengurangkan defisit jaringan menerusi rembatan rendah setelah menerima hantaran Akhyar Rashid namun ia cuma bertahan dua minit apabila Hussain Ali melengkapkan kemenangan 4-1 dengan memanfaatkan hantaran ke belakang yang lemah dari Norazam Azih.  

Aksi Malaysia yang seterusnya adalah menentang Jordan pada 13 Januari ini.  – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -