Perjuangan skuad bolasepak bawah 23 tahun negara di Piala AFC Bawah 23 Tahun berakhir selepas tewas 1-2 kepada Korea Selatan di Stadium Kunshan, China.

Malaysia dikejutkan dengan gol pantas dalam tempoh 15 saat oleh Korea Selatan menerusi rembatan deras Cho Jae-Wan melepasi jangkauan Haziq Nadzli untuk meletakkan skuad kendalian Kim Bong-Gil didepan 1-0.

Jaringan tersebut nyata menyuntik semangat Korea Selatan yang terus mengasak kubu lawan dengan gerakan gerakan yang tersusun.

Namun pertahanan negara, yang dikawal Dominic Tan dan Matthew Davies ternyata sukar untuk ditembusi.

Penjaga gawang negara, Haziq Nadzli juga cemerlang menafikan beberapa peluang keemasan Taeguk Warriors untuk melebarkan jurang gol.

Malaysia juga berpeluang untuk mencipta jaringan tetapi faktor saiz selain ketepatan pemain lawan membaca gerakan pemain pemain negara menyukarkan keadaan.

Ketinggalan satu gol selepas tamat 45 minit pertama, Datuk Ong Kim Swee melakukan pertukaran memasukkan N Thanabalan yang menggantikan Akif Syahiran di minit ke 59.

Percaturan itu ternyata berhasil apabila N Thanabalan menjaringkan gol hasil tandukan jarak dekat susulan hantaran rakan sepasukan Safawi Rasid untuk mengikat kedudukan satu sama.

Jaringan tersebut nyata menaikkan semangat anak didik Kim Swee yang terus mencari peluang untuk mencipta jaringan.

Namun, dalam kesibukan mencari gol, Korea Selatan kembali didepan hasil hantaran diantara Lee Keun-Ho dan Han Seung-Gyu.

Irfan Zakaria gagal mengekang gerakan Lee Keun-Ho sebelum Seung-Gyu menewaskan Dominic Tan dan Haziq untuk meletakkan Korea Selatan mendahului 2-1.

Tiada jaringan tambahan dilakar sekaligus mengesahkan slot separuh akhir milik Taeguk Warriors yang akan menanti Uzbekistan yang terdahulu menewaskan Jepun 4-0.

Dalam pada itu, kekalahan yang dialami skuad Datuk Ong Kim Swee tidak dianggap sebagai satu kekecewaan buat Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menerusi kenyataan media hari ini, Tunku Ismail mengucapkan syabas dan tahniah kepada skuad bawah 23 tahun negara.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas di atas kejayaan skuad kebangsaan B23 melangkah sehingga peringkat suku akhir dalam Kejuaraan B-23 AFC 2018.

“Walaupun kita berasa kecewa dengan keputusan hari ini, semua pemain dan barisan kejurulatihan patut berasa bangga dengan pencapaian anda semua. Anda semua telah berjaya mencipta sejarah untuk mewakili negara sehingga berada di peringkat ini. Sejarah ini tidak akan dapat dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Keputusan hari ini perlu diambil sebagai satu pengajaran untuk meningkatkan lagi ilmu anda pada masa akan datang dan melakukan yang terbaik untuk negara,”titah Tunku Ismail. OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -