Walaupun sudah mempunyai skuad serba mantap dan mengharungi persiapan pra-musim dengan rentak positif, jurulatih Terengganu FC (TFC I) Irfan Bakti Abu Salim mengakui ia belum cukup untuk mengatakan pasukannya sudah cukup bagus.

Irfan yang membawa pasukan itu layak beraksi di Liga Super selepas hanya semusim tersingkir ke Liga Premier berkata masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki jika pasukannya berhasrat menjadi antara pasukan yang boleh mencabar dominasi Johor Darul Takzim musim depan.   

“Kita mempunyai ramai pemain yang bagus bagi setiap posisi, jadi tempoh masa kira-kira lima minggu sebelum liga bermula perlu diguna sebaiknya untuk mendapatkan gambaran siapa yang akan akan menggalas tanggungjawab dalam kesebelasan.

“Saya mahu pasukan TFC mempunyai pemain yang sentiasa bersedia dan kekuatan seimbang dengan pemain utama, baik dari aspek serangan mahupun defensif semua masih perlu ditambahbaik. Saya yakin pemain akan berikan sepenuh hati mereka untuk menjulang pasukan ini,” ujar Irfan.

Sebagai persiapan musim baru, TFC I akan bertandang ke Kemboja selama lima hari bermula 5 Januari dan mengharungi tiga aksi persahabatan di sana,  dan sekembalinya ke tanah air, mereka akan menjadi tuan rumah kejohanan empat penjuru Piala Menteri Terengganu bermula 15 Januari.

TFC I antara pasukan yang membawa masuk ramai pemain baru bagi musim 2018 antaranya Fitri Omar, Kamal Azizi, Malik Mat Ariff, Wan Amirzafran Wan Nadris, Azi Shahril Azmi, Wan Azraie Wan Teh dan Ashaari Shamsudin serta empat import baru iaitu Igor Zonjic, Kim Hyun Woo, Lee Tuck dan Thierry Chantha Bin.OLEH MUHD AIMAN

- Advertisement -