Selepas gagal mendapat tempat di Selangor, pemain Indonesia, Andik Vermansyah sedia untuk menggegar Liga Malaysia apabila sah bersama pasukan dari utara tanah air, Kedah.

Pemain berusia 26 tahun ini turun menjalani sesi latihan bersama sama Lang Merah pagi tadi nyata berasa gembira untuk bersama skuad kendalian Ramon Marcote.

Sebelum memilih Kedah, Andik hampir kembali untuk beraksi bersama pasukan asalnya di Surabaya, namun pengurusan Kedah berjaya memikat hati Andik untuk kembali ke Malaysia sekaligus menyarung jersi hijau kuning.

“Ada lima kelab sedang menanti jawapan tetapi niat saya hanya untuk kembali ke Persebaya Surabaya kerana sudah lapan tahun bermain disana sebelum ke Selangor,”kata Andik.

Walaubagaimanpun Andik dan pengurusan Persebaya gagal mencapai kata putus sebelum pengurusan Kedah melamarnya untuk bermain bersama naib juara Piala Sumbangsih 2018.

“Sudah tentu seronok apabila Kedah membuat tawaran dan saya datang ke sini dengan sasaran yang besar, mahu kembalikan nama saya di Malaysia dan sudah tentu akan membantu menaikkan pasukan Kedah,”katanya lagi.

Andik membuat 67 penampilan bersama The Red Giants sejak 2013 hingga 2017 dan menjaringkan 11 gol sebelum kontraknya tidak disambung Selangor berikutan masalah kecederaan.

Selepas dua perlawanan, Kedah gagal mencatat sebarang kemenangan selepas tewas kepada Johor Darul Takzim (JDT) disusuli kekalahan 1-3 kepada Perak.

Lang Merah akan bertandang ke Stadium batu Kawan, Pulau Pinang dalam misi memburu kemenangan sulung ke atas PKNP FC. – OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -