Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar tidak terkejut dengan dakwaan Melaka United dan Sarawak bahawa terdapat pemain mereka mungkin terlibat dengan skandal mengatur perlawanan.

Pemain yang pernah menyarung jersi Selangor itu menjelaskan gejala tidak sihat itu memang berlaku dalam Liga Malaysia malah sejarah lampau menceritakan ia bukannya cerita yang sengaja diadakan.

Sebelum ini, Presiden Melaka, Datuk Seri Idris Haron mendakwa kemungkinan terdapatnya pemain pasukan itu terlibat mengatur perlawanan selepas kekalahan 1-4 kepada Selangor, dan ia kemudiannya disusuli oleh dakwaan sama oleh Sarawak selepas tewas 2-3 kepada Felcra FC.

Ramai yang menganggap tuduhan itu sebagai terburu-buru dan boleh mengaibkan, namun Azlan berpendapat sebaliknya namun menegaskan kenyataan ini tidak ditujukan kepada mana-mana pemain Melaka atau Sarawak sebaliknya bersifat umum.

“Atur perlawanan ni memang berlaku, ingat tak dulu, ramai pemain ditangkap dan dikenakan hukuman. Kini mereka ini telah dilepaskan dari hukuman, jadi tidak mustahil gejala ini masih berlaku. Sebelum ini pun ada skuad Piala Presiden sebuah negeri, pemain yang terlibat ditangkap dan membuat pengakuan.

“Jadi, pada saya mereka bukan terburu-buru buat tuduhan, tetapi dari pemerhatian. Orang sekarang dah pandai tengok bola, berpengetahuan walaupun mereka bukan orang bola. Mereka boleh menilai kesilapan-kesilapan itu, pelik dan tak patut berlaku. Mereka banyak tengok game, kesilapan dilakukan pemain yang ada nama, yang berkebolehan, jadi sebab itu mereka syak sesuatu.

“Malah dalam banyak kes terdahulu, saya lihat sendiri, memang kesilapan yg berlaku adalah kesilapan yang tidak masuk akal. Bola di kawasan gol, clear jer bola tu, tak perlu fikir panjang. Apa pemain kita ni bagus sangat ke nak pegang bola lama dalam kotak penalti?

“Menampan bola sengaja bagi jatuh ke kaki pemain lawan, penyerang lawan sedang bergerak ke arah gol, awak sepatutnya tutup ruang, tutup pandangan dia, tapi ni menjauhkan diri, bagi dia peluang untuk melakukan rembatan, buat free header di kawasan bahaya sedangkan awak ni seorang pertahanan yg bagus dan berkaliber,” kata Azlan kepada Sports247.

Tambahnya lagi, “Pertahanan yang bagus, berpengalaman tapi takkan benda-benda basic macam tu tak tahu? Mustahil la jurulatih tak ajar dan kenapa benda-benda yang diajar tidak dibuat ketika bermain? Mana mungkin seorang pertahanan yang ada nama, yang berprofil tinggi buat kesilapan kecil, kesilapan sama dalam tiap-tiap perlawanan?”.

Justeru, sebagai solusi Azlan mencadangkan agar mewujudkan sebuah kumpulan teknikal yang terdiri daripada pakar yang datangnya dari kalangan bekas pemain dan ilmuan bolasepak.

“Perkara ini perlu dibendung, tiada usaha maka tiada penyelesaian. Sebab itu saya cadangkan wujudkan kumpulan teknikal ini dan saya bersedia menawarkan diri untuk membantu demi memastikan integriti bolasepak negara terus terjaga. Kumpulan teknikal ini akan mengkaji cara permainan setiap pemain selama 90 minit.

“Sebagai contoh, Mathew Davies, semua tahu dia adalah pemain yg suka buat overlap, naik turun atas bawah bantu serangan dan pertahanan, memang itu gaya dia tapi kenapa dalam satu perlawanan ni dia main lain macam dah naik atas tapi tak nak turun.

“Safee Sali, penyerang terbaik dalam negara, tapi 5-6 kali ofsaid. Logik tak penyerang berpengalaman macam Safee ofsaid sampai 5-6 kali, adakah dia sengaja? Ini adalah sebagai contoh sahaja. Jadi kumpulan teknikal ini akan menilai dan mengkaji aktiviti pemain atas padang,” kata Azlan.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -