Jorg Steinbrunner sah melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih Negeri Sembilan berkuatkuasa serta-merta dan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) tidak menunggu lama untuk mengumumkan jurulatih popular Azraai Khor Abdullah sebagai pengganti.

Negeri Sembilan adalah pasukan ketiga membuat pertukaran jurulatih dalam tempoh kurang sebulan Liga Malaysia 2018 bermula selepas Kelantan kira-kira dua minggu lalu dan kemudiannya Johir Darul Takzim pada Ahad lalu.

Pelantikan Azraai yang kali terakhir membimbing Kelantan pada 2015 dan membawa pasukan itu muncul naib juara Piala FA diumumkan sendiri oleh Presiden PBNS, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan dalam satu sidang media ringkas, pada Rabu.

Jorg berdepan tekanan hebat dari penyokong yang hilang kepercayaan dan mendesak agar dia disingkirkan setelah tewas tiga daripada empat perlawanan awal Liga Super kepada PKNP, Melaka dan Terengganu. Satu-satunya kemenangan diraih skuad itu adalah ketika menewaskan Kuala Lumpur pada perlawanan kedua.  

Untuk rekod, Azraai yang popular sebagai jurulatih tunggal pernah menjulang ‘double treble’ ketika bersama Kedah, pernah membimbing skuad jang pada 2011 dan 2012 di mana dia membawa pasukan itu menjulang Piala Malaysia (2011) dengan menewaskan Terengganu dan Piala Sultan Ahmad Shah (2012) menewaskan Kelantan – itu juga kali terakhir sang rusa merasai nikmat mengenggam kejuaraan.

Misi utama Azraai ketika ini adalah memulihkan krisis keyakinan penyokong dan mengembalikan semula Negeri Sembilan yang kembali beraksi di Liga Super selepas lima musim, ke landasan kemenangan.

Dapatkah Azraai ‘the Mr Pink’ tunai ekspetasi tinggi membawa semula gemilang yang hilang ke Paroi? Adakah sentuhannya masih berbisa, adakah dia dapat mengulangi semula magisnya selepas beberapa tahun menyepi dari bidang kejurulatihan? Ini peluang terbaik untuk bekas jurulatih Harimau Muda ini membuktikan kredibiliti jurulatih tempatan.

Selamat berjaya diucapkan.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -