Saingan Liga Super mungkin baru bermula tidak sampai seminggu, namun juara bertahan Johor Darul Takzim (JDT) sudahpun memberi bayangan awal betapa ianya tidak mudah untuk mana-mana pasukan merampas trofi itu yang digenggam mereka sejak empat tahun lalu.

Dua kemenangan masing-masing 2-1 ke atas Kedah dan terbaru 3-0 ke atas PKNP FC meletakkan anak buah Ulises Morais selaku pendahulu awal carta liga dengan enam mata namun bagi pengendali dari Portugal itu ianya masih terlalu awal untuk mereka berada di zon selesa.

“Dua aksi pertama, dua kemenangan tetapi itu belum membuktikan apa-apa. Kedua-dua pasukan terbukti lawan yang sukar, mereka sedaya upaya mahu menewaskan kita. Menentang Kedah kami dikerah untuk bangkit selepas ketinggalan, menentang PKNP kami terpaksa bekerja keras dan hanya berjaya menjaringkan gol di hujung separuh masa pertama.

“Pemain-pemain telah menunjukkan ketenangan dan tidak tertekan selain membentuk kerjasama sepasukan yang mengagumkan. Apa yang penting adalah kekal dengan karakter sama, fokus dan konsisten dalam setiap perlawanan yang mendatang. Kita masih lagi berada di awal saingan jadi tiada apa yang boleh diramal buat waktu ini.

“Kita tidak boleh mengambil masa untuk dapatkan momentum, ia perlu bermula sekarang dan saya gembira kerana pemain-pemain menunjukkan mentaliti mahu menang dan mindset mereka sentiasa positif. Sudah tentu ia lebih mencabar apabila memasuki fasa jadual padat di mana kami akan bermain pula dalam saingan Piala AFC jadi kami tidak boleh terbuai dan perlu terus bekerja keras menjadi lebih mantap,” ujar Morais. 

Dalam aksi kedua berturut-turut di Stadium Larkin pada Selasa, JDT membuka tirai jaringan pada minit ke-43 menerusi Jorge Pereyra Diaz sebelum menambah dua jaringan di babak kedua menerusi pemain pertahanan Fadhli Shas (m-55) dan Natxo Insa pada masa kecederaan untuk menundukkan pendatang baru, PKNP FC 3-0.

Lawan mereka yang seterusnya adalah juara 100PLUS Liga Super 2017, Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu. Ini akan menjadi kali pertama kedua-dua pasukan bertemu sejak 2012 (ketika itu JDT dikenali dengan nama Johor FC). – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -