Tahun lalu, MIFA antara yang terpalit dengan isu ‘bookie’ dan gejala atur perlawanan, sehinggakan tiga pemain mereka termasuk seorang bookie ditahan untuk siasatan. Ia menjadi igauan buruk buat pasukan yang ketika itu dikendali Jacob Joseph.

Mereka tewas dalam tiga perlawanan pertama, malah lebih teruk tewas sembilan kali dalam 11 perlawanan pertama dan berada di kedudukan tercorot. Reputasi selaku juara Piala FAM 2016 sekadar gah di atas kertas semata-mata, dan mereka hanya terselamat dari tersingkir ke Liga FAM pada hari terakhir musim.

Itu cerita tahun lalu. Kini mereka bukan lagi hingusan, bukan lagi belasahan.

Skuad bimbingan K.Devan tahun ini belum lagi tewas dalam tiga perlawanan pertama – seri dua iaitu ketika menentang JDT II dan Kuantan FA serta menang sekali ke atas Terengganu FC II.

Keputusan itu membantu MIFA berada di kedudukan kelima, hanya dibezakan empat mata di belakang pendahulu Felda United yang menang ketiga-tiga perlawanan.

Begitupun, Devan belum mahu bergembira kerana menurutnya perjalanan masih jauh. Misi gegar 100PLUS Liga Premier berada di landasan tepat dan baginya momentum kemenangan perlu diteruskan apabila menentang pendatang baru, Felcra FC pada Jumaat ini.

Felcra FC sama seperti MIFA, seri dua perlawanan pertama ketika menentang PDRM dan Sabah, sebelum mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan Sarawak.

Dengan kedua-dua pasukan belum tewas, Devan berpendapat ia akan menjadi perlawanan yang cukup sengit justeru tidak mahu pemainnya sesekali leka lantas tampil bertenaga untuk mempertahankan permulaan sempurna. 

“Mereka mungkin pendatang baru tetapi itu tidak bermakna mereka tidak bagus. Felcra pastinya mempunyai misi sama seperti kita, iaitu meneruskan rentak kemenangan jadi mereka akan turun dengan keyakinan tinggi. Pemain-pemain saya perlu fokus, jangan melakukan kesilapan.

“Setakat ini mereka tidak mengecewakan dan saya mahukan konsistensi. Semua pemain perlu sedar tanggungjawab dan peranan masing-masing, itu akan membantu pasukan ini untuk terus berada di kedudukan yang baik dan mencapai sasaran yang ditetapkan pada awal musim,” ujar bekas jurulatih Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan itu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -