Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba Ulises Morais mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengendali Johor Darul Takzim hanya selepas sembilan bulan membimbing pasukan itu, sebentar tadi.

Morais yang membawa JDT merangkul gelaran Liga Super buat empat musim berturut-turut dan kemudian menjulang Piala Malaysia pertama kali dengan menewaskan Kedah musim lalu menyatakan masalah kesihatan di dalam keluarga sebagai alasan pengundurannya.

Dalam satu kenyataan di laman sosial rasmi Harimau Selatan, Morais berkata, “Hari ini adalah hari yang sangat menyedihkan buat saya, tugasan saya berakhir di kelab terhebat ini. Segala hal dalam kehidupan perlu ada keutamaan. Di atas sebab-sebab kesihatan keluarga, saya terpaksa meninggalkan anda dan kelab ini.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua kakitangan, pemain dan seluruh struktur sepanjang sembilan bulan kami menghabiskan bersama-sama dengan begitu banyak pencapaian dan kejuaraan yang dicapai. Juga kepada pembantu jurulatih setia saya, Rui Rodrigues yang menemani saya selama ini, terima kasih. Bersama anda, tugas disini menjadi lebih mudah.

“Tidak lupa, kepada para penyokong, terima kasih di atas sokongan, ambil berat dan penghormatan yang sentiasa diberikan setiap hari.”

Morais juga memberi penghargaan khas kepada nadi utama JDT, DYAM Tunku Mahkota Johor.

“Seorang lelaki muda yang tidak dapat dinafikan bakat, kepintaran dan kepimpinan yang dimiliki. Dilahirkan sebagai juara. Saya berkongsi pendapat dengan baginda berjam-jam dalam satu hari, sama ada di rumahnya atau di kelab di mana baginda selalu melayan saya dengan penuh penghormatan, pendidikan dan persahabatan, memenuhi semua keperluan untuk berjaya sehingga saat terakhir saya di sini.

“Baginda adalah seorang yang berwawasan. Apa yang difikirkan, tidak lama selepas itu ia akan berlaku. Dengan mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap penyokong dan masyarakat Johor, menjadikan baginda adalah yang terbaik.

“Tidak ada lagi ucapan lain yang diperlukan untuk mengucapkan terima kasih di atas masa yang kami habiskan bersama-sama dengan banyak meraih gelaran yang dijuarai. Terima kasih ikhlas daripada saya. Saya akan terus kekal dalam sejarah JDT dan sentiasa berada di dalam hati. Semoga berjaya pada masa akan datang hingga selama-lamanya.”

Kemenangan 3-0 menentang Melaka pada Sabtu menjadi aksi terakhir bimbingan Morais. Dia meninggalkan JDT sebagai pendahulu Liga Super. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -