Pasukan Rally Cycling yang berpangkalan di Amerika Syarikat menyatakan kesediaan mereka untuk mencabar pasukan lain dalam aksi sulung  sebagai pasukan berstatus Pro Benua dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 yang dijadual berlangsung dalam masa tiga minggu lagi.

Selepas 11 musim sebagai pasukan Benua, tahun 2018 nyata berbeza dengan status Pro Benua dimana pasukan yang berpengkalan di bahagian utara Amerika Syarikat bakal menurunkan enam pelumba berpengalaman termasuk pelumba muda untuk mengharungi LTdL yang memasuki edisi ke-23 tahun ini.

Perlumbaan 8 peringkat bagi 2018 dijadual bermula di Kangar, Perlis pada 18 Mac, dua hari selepas Majlis Pengenalan 22 pasukan yang beraksi di Pulau Langkawi (16 Mac) dan perlumbaan akan tamat   di Kuala Lumpur pada 25 Mac.

Pengalaman yang dimiliki Eric Wohlberg selaku Pengarah, pasukan ini yang dikenali dengan Kelly Benefit Strategies pada 2009, akan memanfaatkan segenap peluang yang ada pada pengendali kelahiran Kanada itu untuk memburu podium di perlumbaan berstatus 2.HC.

Wohlberg merupakan pelumba yang beraksi di pentas Olimpik sebanyak tiga kali selain memenangi pingat emas di Sukan Komanwel pada 1998, malah penah menaiki podium selaku pemenang peringkat ke 8 ketika saingan LTdL 1999.

Dua perlumbaan yang telah disertai, pada awal tahun, iaitu Jelajah Dubai dan Jelajah Oman, pasukan Rally Racing pastinya tidak mahu pulang dengan tangan kosong menerusi pakar pendaki dan pecut yang dipilih bagi saingan LTdL 2018.

Musim 2017, 58 kemenangan dan 107 podium diraih sepanjang perlumbaan Jelajah Amerika dan Jelajah Berbasikal Pro Amerika Syarikat.

Meskipun diusia 39 tahun, Charles Bradley Huff, yang pernah melakar nama sebagai juara dua kali Pro Kriterium Amerika Syarikat , pengalaman selama 11 tahun meletakkannya sebagai seorang pelumba yang pecut yang perlu diberi perhatian.

Tidak kurang juga kemampuan Eric Young yang pernah menaiki podium di Jelajah Utah, Jelajah Korea dan Jelajah Gila di New Mexico.

Pakar pecut berusia 28 tahun ini dijangka menjadi gandingan bersama sama Bradley untuk memburu podium.

Sementara itu, pengalamannya selama dua tahun bersama Rally Racing, Adam de Vos akan memainkan peranan selaku pakar pendaki dan mempunyai keputusan yang baik di Grand Prix Antarabangsa Raiffeisen di Austria serta Redland Cycling Classic.

Status sebagai juara dunia bawah 23 tahun tidak boleh diketepikan dimana Danny Pate akan menjadi salah satu tunjang dalam pasukan.

Pengalaman sebagai pelumba pro sejak tahun 2000 akan dimanfaatkan juga pelumba baru yang menyertai Rally Cycling, Kyle Murphy.

Pelumba pendaki ini berhijrah daripada pasukan Cylance Cycling diharapkan mampu untuk memberi tentangan sengit di laluan laluan berbukit dan kelibat juara lebuhraya di Kanada Matteo Dal-Cin, pastinya menambahkan lagi kerancakkan saingan buat Rally Racing untuk membuktikan kemampuan mereka kepada 21 pasukan lain.

Sejumlah 22 pasukan yang terdiri daripada pasukan WorldTour, Pro-Benua, Benua dan pasukan kebangsaan telah mengesahkan penyertaan dalam edisi 2018 yang meliputi jarak 1,341km melibatkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

Senarai pelumba pasukan Rally Racing: Matteo Dal-Cin, Adam de Vos, Charles Bradley Huff, Kyle Murphy, Danny Pate, Eric Young.

- Advertisement -