–foto BERNAMA

Penyandang juara dunia keirin 2017, Mohd Azizulhasni Awang terlepas peluang mencipta kejayaan di laman sendiri apabila hanya mampu meraih gangsa dalam acara itu pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2018 di Velodrom Nasional, di sini hari ini.

Jaguh trek kebangsaan tersebut yang mencatat kepantasan 10.076 saat sewaktu pusingan separuh akhir, gagal menyaingi kayuhan cemerlangnya selepas ditinggalkan 0.084s di belakang pelumba Jepun, Tomoyuki Kawabata yang merakam 10.174s untuk meraih emas diikuti pelumba Korea Selatan, Chaebin IM.

Bercakap kepada pemberita selepas perlumbaan, Mohd Azizulhasni yang diberi jolokan ‘The Pocket Rocketman’ mengakui sedikit terkilan selepas gagal menghadiahkan kemenangan kepada rakyat Malaysia yang hadir menyokongnya.

“Agak sedih juga kerana setiap pelumba ingin memenangi setiap kejohanan besar yang disertai tetapi pada masa sama saya tetap gembira kerana berjaya menaiki podium. Satu perlumbaan yang amat sengit boleh saya katakan.

“Saya memang beri yang terbaik di setiap perlumbaan namun mungkin hari ini nasib tidak menyebelahi saya namun saya berjanji akan buat yang terbaik untuk tidak menghampakan penyokong pada acara pecut Isnin ini,” katanya.

Pada masa sama, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu, itu berkata perlumbaan hari ini adalah sebahagian daripada strateginya menjelang Kejohanan Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2018 di Belanda yang akan bermula 28 Feb ini.

“Perlumbaan hari ini merupakan sebahagian daripada strategi di mana saya ingin mengelakkan daripada mencapai kemuncak prestasi terlalu awal sebelum ke Belanda,” kata pemenang pingat gangsa pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Sebagai rekod, kali terakhir Mohd Azizulhasni memenangi pingat emas dalam acara keirin di pentas Asia adalah pada edisi 2015 di Thailand. BERNAMA

- Advertisement -