SELEPAS terlepas saingan tahun lepas, Andrea Guardini akan kembali beraksi pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018, sekaligus menjadikan pelumba Itali itu antara jaguh pecut yang dijangka mendominasi saingan peringkat LTdL yang akan bermula di Kangar dari 18 -25 Mac ini.

  Berbekal reputasi sebagai pelumba pecut paling banyak memenangi peringkat saingan LTdL sejak 2011, Guardini, yang sebelum ini beraksi selama empat musim bersama pasukan WorldTour (2013-2016), bakal memperkuatkan saingan pasukan Pro-Continental Itali, Bardiani CSF pada LTdL 2018 yang menampilkan lapan peringkat. 

 Pelumba berusia 28 tahun, yang menamatkan penyertaan singkat semusim bersama Team UAE Emirates tahun lepas, mengepalai kempen Bardiani CSF yang menyertai kancah saingan LTdL buat kali keempat tahun ini.  

Keupayaan dan reputasi Guardini sebagai Raja Pecut LTdL yang telah memenangi 22 saingan peringkat LTdL sejak 2011 (bermula dengan pasukan Farnese Vini-Neri Sottolli) nyata ampuh kerana sehingga kini, pencapaian berkenaan masih belum tercabar. 

 Bardiani CSF, dikenali sebagai Termolan sejak penubuhan pada 1982 dan kini dikendali Roberto Reverberri, membariskan barisan muda tetapi dijangka tetap mampu memberi saingan bermakna terutama dalam saingan pecut.  

Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2018 M. Kumaresan berkata : “Bardiani CSF merupakan pasukan regular sejak empat edisi lepas dan kami gembira dengan penyertaan mereka kali ini…pasti ramai yang teruja menanti kehadiran barisan pelumba mereka terutama Andrea Guardini yang yang bukan sahaja menyinar dalam LTdL sejak sekian lama, tetapi juga di perlumbaan di Eropah. Kehadiran beliau pasti lebih menghangatkan saingan LTdL 2018.”

Untuk rekod, sepanjang tujuh tahun  kariernya sebagai pelumba professional, Guardini telah meraih 40 kemenangan bermula dengan pasukan Farnese Neri (2011-2012) sebelum berpindah bersama pasukan WorldTour Astana selama empat tahun (2013-2016). Tahun 2017 pasti mahu segera dilupakan selepas menamatkan penyertaan singkat bersama pasukan Team UAE Emirates.

Kejayaan sebelum ini  termasuk kemenangan peringkat ke-17 Giro d’Italia pada 2012 selain kemenangan peringkat lain pada perlumbaan di Qatar, Oman, Abu Dhabi, Denmark, Slovenia, Turkey, Belanda, China, Perancis, Belgium dan Portugal menjadikan beliau antara pelumba yang begitu menonjol dalam peloton.

Selain Guardini, barisan  Bardiani CSF akan menampilkan pelumba muda Michael Bresciani, Paolo Simion, Simone Sterbini, bekas pelumba Lampre-Merida Luca Wackermann dan bekas juara remaja Itali Umberto Orsini yang dipancing dari Colpack-Marchiol. 

Kemampuan Orsini terutama dalam pendakian menjadikan beliau antara bintang harapan Bardiani CSF, sekaligus diharap mampu mengikut jejak bapa saudaranya, Andrea Tafi, yang merupakan antara pelumba hebat Itali dan pernah merwarnai saingan pada tahun-tahun awal LTdL sebelum ini.  

LTdL 2018, yang dianjurkan Ciclista Sports Sdn Bhd,  akan menampilkan lapan peringkat mula 18-25 Mac, bermula dengan majlis rasmi Pengenalan Pasukan di Langkawi sebelum perlumbaan sebenar bermula di Kangar pada 18 Mac. Biarpun tanpa pendakian ke Genting Highlands yang diketepikan kerana kerja baik pulih jalanraya, pendakian berliku 140km ke Cameron Highlands dijangka tidak kurang hebat yang bakal menentukan kejuaraan keseluruhan.  

Sejumlah 22 pasukan sudah pun mengesahkan penyertaan dalam saingan 2018 termasuk pasukan WorldTour, Pro-Continental dari Asia-Pacific selain pasukan kebangsaan. 

- Advertisement -