Pengendali MOF FC, Razip Ismail memuji permainan bertenaga ditunjukkan barisan pemainnya ketika menundukkan CNA FC 6-0 dalam aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Inspen, Bangi pada Selasa.

Menurut bekas pemain pertahanan kebangsaan itu, walaupun CNA FC adalah sebuah pasukan liga sosial, mereka tetap berjaya memberikan tentangan yang baik dan menyukarkan pemainnya untuk mencipta peluang terutama dalam tempoh 20 minit pertama permainan.

“Untuk bermula dengan langkah kanan dan menang dengan enam gol dalam aksi kompetitif pertama bagi musim ini sudah tentunya cukup menggembirakan saya. Saya akui kita bermula agak lembap, bermain dalam keadaan gementar,dan banyak melakukan kesilapan.

“Setelah menjaringkan gol pertama, kita mula mendapat rentak, pemain menyerap tekanan dengan baik, lebih selesa mengawal permainan, build up game nampak lebih tersusun. Sudah tentu ini satu kemenangan yang cukup bermakna, dan ia memberikan keyakinan untuk aksi pertama Liga FAM nanti. Saya berharap momentum dapat diteruskan,” ujar Razip yang ditemui Sports247 selepas perlawanan.

Dalam aksi tersebut, MOF FC mendahului 3-0 di separuh masa pertama dan menambah tiga lagi di separuh masa kedua. Penyerang kelahiran Melaka, Fakhrullah Rosli muncul wira dengan menjaringkan lima gol masing-masing pada minit ke-21, 41, 45, 79 dan 89 manakala satu lagi jaringan disumbangkan oleh Farid Azmi.  

Lawan MOF FC di pusingan kedua nanti adalah juara lima kali, Selangor.

Dalam aksi pusingan pertama yang lain berlangsung pada Selasa, tiada kejutan disaksikan.

Shahzan Muda mara dengan menewaskan PIB FC 3-0; Terengganu City FC membenam Jerantut FA 2-1; PJ Rangers membelasah MD Jempol FC 6-1; AXIS-O2 menang 4-1 ke atas SRCC Kuala Kangsar; Hanelang FC menang 3-0 ke atas Invictus FC; Southern FC menewaskan Selangor United 2-1 dan Kuching FA menang 2-0 ke atas Real Chukai FC. – OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -